Tuesday, December 22, 2009

Musang oh musang...

Adeem, Amirul dan Aarif main-main dengan musang Mak Uji...

Harini kita dengan tak sengaja telah terbunuh musang peliharaan adik ipor kita, Uji. Aduuuh.... dah ler menangis-nangis budak tu. Dia tu memang penyayang dengan binatang.

Anak-anak musang tu bukan main lagi dia jaga. Tiap-tiap pagi dan petang dia susukan. Kasi makan telur rebus. Binatang ni jatuh dari sarang pokok. Ada orang kampung jumpa pastu kasikan kat Mak Andak depan rumah tu untuk jagakan sebab Mak Andak memang ada membela sekor musang pandan.

Bila dah besor sikit, dia offer binatang tu kat Uji. Sepasang, jantan dan betina. Punyalah dedikasi dia membela. Kadang-kadang dia biarkan binatang tu keluar dari kandang. Bila dia free, musang-musang ni suka duduk dalam enjin kereta.

Dah ler tiap-tiap kali nak keluar kena bukak bonet, pastikan musang-musang tu takde. Kita pulak pagi tadi memang ler tak teringat nak check-check enjin. Lagipun ingat binatang tu kat dalam sangkar.

Memang jinak...

Dah jauh dah dari rumah diaorang, telefon suruh tengok enjin. Sudah! Berenti ler tepi jalan, tengok-tengok memang takde. Rupanya musang tu dah terjun dari bawah kereta tak jauh dari rumah.

Yang jumpa Abah Mertua masa dia nak keluar ke bandar tak lama lepas kita bertolak. Hmmm... mati dah binatang tu. Allahuakbar... guilty gila rasanya. Kesian kat musang tu, kesian kat Uji. Ni masih lagi bengkak mata dia.

Musang jantan dalam kenangan...

Maka termaktublah dalam sejarah, kita adalah orang yang membunuh musang jantan si Uji. Maafkan Akak ye Ji...

Until later...

Saturday, December 19, 2009

Aktiviti-aktiviti terbaru...

Adik kita Noora dah selamat pun melahirkan anak perempuan pagi Sabtu kelmarin. Mak & Abah dah sampai di Puchong untuk temui cucu terbaru diaorang. Mak akan tinggal lama sikit kat sana kot, tolong jagakan Noora.

Kita pulak mungkin akan naik KL hujung minggu ni. Pergi naik bas aje dengan Amiin. Budak-budak yang lain tinggal kat kampung ajelah. Nak drive sendiri kita tak konfiden sebab tak berapa ingat jalan. Lagipun kereta MyVi Abang Jamal yang kita pinjam tu takkan boleh kita sumbatkan 6 orang kat dalamnya. Tak pasal aje kena saman!

Cik Abang dah selamat sampai di Brunei pagi tadi dan terus masuk ofis tengahari. Balik hujung minggu gitulah. Asal puas hati Cik Abang oooii...

Budak-budak seronok sepanjang Babah diaorang ada. Kalau dengan Ibu, kan kena jaga budget... he he... Bawak diaorang tengok wayang cerita "Avatar". Pastu Cik Abang menunaikan janji membelikan PS2 untuk diaorang.



Kalau orang dengar memang macam kelakorlah... orang lain dah bernaun-naun main PS2. Ada dah upgrade PS3 pun tapi anak-anak kita baru nak merasa ada PS diaorang sendiri.

Kantol sebenarnya. Cik Abanglah, konon mencabar anak-anak... tak sangka pulak cabaran bersahut dengan jayanya. Nak buat camane? Janji kenalah ditunaikan, padan muka...

Kita sebenarnya tak berapa setuju nak membeli PS ni. Bukan tak pernah budak-budak ni mintak tapi bertahun-tahun kita bertahan tak mau membeli.

Tapi bila kita tengok diaorang boleh ikut syarat-syarat main komputer games hanya pada hari Jumaat dan Ahad, akhirnya kita beralah bila Cik Abang melontar cabaran. Adatlah kena bising-bising sikit bila nak pastikan segala kerja-kerja sekolah siap dibuat dulu.

Budak-budak pulak, sebab nak punya pasal, terima ler segala syarat. Hari sekolah PS akan disimpan dalam bilik kita. Boleh keluar hanya bila semua kerja rumah dah siap. Kalau terseliuh aje markah, haaa siap! Tak merasalah jawabnya...

Ni tengah mabuk main games. Takpelah, kita kasi chan sementara cuti. Biar puas sampai muak. Nanti bila dah nak mula semula sekolah, dah kurang sikit mabuknya.

Dah berhari-hari dah kita tak sentuh crochet. Hai Cik Abang adalah katakan. Kenalah layan, kesian dia datang jauh-jauh kan? kan?



Until later...

Saturday, December 12, 2009

Potong, potong, potong... Potong sajelaaaah...

Ya, lagu yang sekarang ni sangat diminati oleh Amiin, dinyanyikan sambil dia mengetuk-ngetuk kompang kat rumah Atuknya. Rasanya memang streamyx bakal dipotong di Parit Besar. Bosan beb! Bayor mahal, service takdek. Kesian kat Abah, kesian kat kita jugaklah, tukang bayor... he he...

Anyway, ini kita mencilok maxis broadband Noora, adikku yang sedang sarat mengandung itu. Bakal melahirkan anak ketiganya bulan ni. Kitaorang suruh dia tahan-tahan supaya dia melahirkan di bulan Januari. Ada pulak ek? Ingat boleh tahan-tahan ke? Kalau dah nak terkeluar tu, keluar jugak ler tak kira bila. Ketentuan Allah takde sape yang boleh menghalang.

Hari Khamis lepas entah kenapa tiba-tiba kita teringin pulak nak membuat hasil kraftangan. Sebenarnya Mak memang jari lembut. Sejak dari muda lagi, Mak suka menyulamlah, mengaitlah, buat bungalah. Hui... masa zaman dia rajin menyulam, segala alas katil dan sarung bantal bersulam!

Masa dia tengah suka buat bunga, macam-macam jenis bunga dia buat. Bunga kertas, bunga celup, bunga straw, bunga dawai eh ada ke? Anyway, sejak akhir-akhir ni, memanik-manik ler pulak.

Yang mewaris jari-jemari lembut ni Fiz. Dia sampai sekarang rajin menyulam. Tiap sorang anak dia ada sarung bantal istimewa yang disulamnya sendiri. Dia pun tengah mabuk memanik-manik sekarang ni.

Kita ni bukan tak minat tapi malas! Masa budak dulu ada jugaklah buat sulam-sulaman. Itupun sebab sulam-menyulam subjek ko-kurikulum sekolah rendah. Mungkin sekolah perempuan agaknya.

Projek sekolah selalu tak siap. Mesti kena marah dengan Cikgu punya. Kalau buat pun sambil lewa. Ingat lagi kita kena herdik dengan Cikgu Latifah. Dia suruh bukak balik sulaman sebab jahitan kita yang sangat ler tak cantik. Ha ha ha ha...

Pastu Mak ajar pulak mengait (crocheting). Hmmm... kalau dah dasar malas tu kan! Tak sempat siap walaupun satu doily pun, terbengkalai. Jadi atas dasar nak menghabiskan pelajaran, kita mintak Mak ajar semula crocheting tu. Korek semula semua buku-buku Mak yang lama-lama tu.

Petang tu jugak pergi beli jarum kait dan benang. Ni tengah mengait ler ni. Heeei... memang mencabar kesabaran betul. Pakkal aje dah bertekad, kalau tak mau dicempak aje.

Nantilah, kita tunggu aje, jadik ke tak jadik doily kita tu.

Until later...

Wednesday, December 9, 2009

Di Batu Pahat...

Akhirnya.... dapat jugak masuk dashboard blog ni. Setelah berbelas-belas kali mencuba, sakitnya hati sebab asyik-asyik tergantung. Dah dapat masuk ni, boleh ler ngomel panjang-panjang sikit he he he...

Minggu lepas, berkejar kesana-sini. Duduk hospital 3 hari sebab Amiin ada bronchopneumonia - jangkitan dalam paru-paru. Dah ler jadi berterabur plan!

Cik Abang berulang-alik dari rumah ke hospital berkali-kali satu hari. Kesian dia... Yang Amiin pulak tak macam budak sakit. Tonggang-terbalik main kat dalam bilik. Bosan yang amat sebab takde benda nak buat. Kita pulak naik buntang mata dan sakit dada melayan batuk yang teruk.

Anak-anak yang lain macam dah tak berbela. Ibu & Babah takde, siang-malam mengadap TV ajelah. Bila dapat keluar hari Sabtu lepas, leganyaaaaa.... Alhamdulillah!

Yang geram, rupanya takde satu pun buku rujukan sekolah diaorang bawak balik. Semuanya buku cerita dalam beg buku tu. Hmmm... hari Isnin lepas kita pergi kedai buku. Haa... panjang muka masing-masing tengok buku latih-tubi yang kita beli. Padan muka! Ingat boleh escape ker?

Ni Cik Abang dah pun balik ke Brunei. Tinggal ler kitaorang kat sini sampai hujung tahun. Tengok gaya, macam dia yang lebih rindu kat bebudak. Kat sini bebudak yang besor-besor tu cool aje. Cuma Amiin aje yang tanyakan Babah dia. Nak-nak waktu maghrib sebab dia selalu ikut Babah dia pergi ke surau.

Nasib baik ada Pak Usu Ayat, double seronok la Amiin sebab naik motor. Nanti bila dah duduk Parit Besar, macamana pulak bila dia nak ikut Tok Abah dia ek? Kalau ikut, Tok Abah dia mengimamkan solat, siapa pulak nak jaga dia kat belakang?

Esok ada follow-up visit ke hospital untuk Amiin. Lepas tu, nak terus ke Parit Besar, rumah Mak Abah kita pulak. Masalahnya kat Parit Besar tu, internet punyalah karut-marut. Nak masuk punyalah susah. Bila dah dapat, sekejap aje, pastu gerenti putus. Tension gila betul lah!

Technician dah datang dah, lepas dia balik. Ok sekejap, pastu jadik balik. Nak buat camane lagi ni? Mencabar kesabaran betul...

Apapun perkara ni kena diselesaikan sebelum kita balik ke Brunei. Tengoklah nanti macamana.

Until later...

Thursday, November 19, 2009

Kuah Hitam Yong Tau Foo...


Hui... kalau tengah semangat, tengah mengidam... apa pun jadik! Jom masak lagi!

Kuah Hitam Yong Tau Foo

10 tangkai lada kering
1 ketul gula melaka + 100ml air
3 cm belacan
2 ulas bawang putih - diketuk
1 sdbsr kicap pekat
1 1/2 sdbsr tepung jagung
2 sdbsr bijan
300ml air
garam, sedikit minyak, serbuk perasa (jika mahu)

Sangai bijan hingga masak atas api kecil. Angkat dan ketepikan.
Goreng lada kering dengan sedikit minyak atas api kecil hingga garing.
Angkat dan kisar halus lada bersama belacan dan sebahagian air.

Masak gula melaka hingga larut.
Masukkan lada kisar tadi, bawang putih dan kicap pekat.
Masak hingga mendidih. Disebabkan kuah nampak tak cantik dengan biji lada dan bawang putih yang terapung-apung, kita pun tapiskan dulu kuah tu dan masukkan semula ke dalam periuk.

Larutkan tepung jagung dengan lebihan air tadi dan tuangkan ke dalam bancuhan lada.
Masak lagi hingga pekat dan likat.
Sesuaikan rasa masin dan manis. Sedia untuk dihidang.

Sup Sempoi

1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 sdbsr cecair stok ayam
1 sdt serbuk lada hitam
1 1/2 liter air

Hiris bawang besar dan halia. Ketuk aje bawang putih tu.
Rebuskan kesemuanya dengan bahan-bahan lain hingga mendidih.
Kemudian rebuskan apa-apa jenis Yong Tau Foo yang disukai seperti fishball, sotong ball, prawn ball, lada, kangkung dan lain-lain di dalam sup ni.
Angkat dan hidang bersama kuah hitam dan taburan bijan.



Nota:
Disebabkan tak jumpa kuey tiew gulung-gulung tu, kita terpaksalah guna kuey tiew yang biasa aje. Dan kita guna lada lebih, mungkin dalam 15 bijik. Lagi pedas lagi kick!

Malam tadi kita dah post kat FB, Mala kata kalau letak Black Bean Sauce dan sedikit Rempah 5, lagi ler sedap jadinya. Ok, next time!

Until later...

Wednesday, November 18, 2009

Fast Chicken Dish #2...


Haa... lagi satu resepi cepat dimasak, cepat dimakan.

Korek-korek kat freezer petang semalam, ada beberapa ketul dada ayam. Nak grill macam selalu dah lewat sangat, dah pukul 5.15. Mesti tak sempat kalau nak tunggu sampai masak pastu nak buat brown saucenya lagi. Last-last... hantam sajalah kak ooi... Inilah hasilnya. Jom masak!

Fast Chicken Dish #1 kat sini yea.

Fast Chicken #2

5 keping dada ayam - hiriskan supaya sedikit nipis
1/2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Garam & lada hitam secukup rasa
Sedikit butter & minyak zaitun

Kisarkan bawang besar, bawang putih dan halia. Gaulkan pada dada ayam bersama garam dan serbuk lada hitam. Panaskan butter dan minyak zaitun. Goreng dada ayam sehingga masak dan ketepikan.

Warm salad

1/2 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
3 biji kentang
1 biji besar lobak merah
1 cwn makaroni
1 ikat daun ketumbar
2 sdbsr oregano
Garam & lada hitam secukupnya

Potong kentang dan lobak merah sederhana besar. Rebuskan kedua-duanya hingga masak. Begitu juga makaroni.
Bawang besar dan bawang putih dihiris. Kurangkan sedikit lebihan minyak goreng ayam tadi. Tumiskan bawang kemudian masukkan kesemua bahan-bahan lain. Tumis hingga sebati.




Boleh dimakan bersama brown sauce atau mana-mana sos pasta yang ada. Kalau sempat boleh buat sendiri, kalau tak beli saja yang di pasaraya.

Semalam, masa buat ni, makaroni dah habis. Jadinya takdelah dalam gambar. Lebih enak kalau masa makan tu diperahkan lemon.

Until later...

Sunday, November 8, 2009

Eggless Bread Pudding...


Dah lama tak upload resipi masak-masak kan? Kali ni, mari cuba resipi Puding Roti tanpa Telur. Sangat sesuai untuk orang-orang yang alah telur atau yang sensitif bau telur macam kita ni...

Resipi ni kita dapat dari Azmil, kawan sepejabat Cik Abang. Dari suapan pertama kita dah jatuh hati dengan pudding ni. Kita tanya dia, kenapa takde bau telur. Rupanya memang tak guna telur langsung pun. Kita dengan Cik Abang pun apa lagi, mengulang-ngulang ler tambah, sedap kak oii....

Sebelum ni, kita memang terliur bila dihidang Puding Roti tapi selera selalu aje terbantut sebab tak tahan bau hanyir telur. Kalau makan pun setakat cuit-cuit sikit aje.

Hmmm... penat jugak nak memujuk Azmil untuk kasi resepi ni, akhirnya mengalah jugak dia. Thanks, Azmil!

Resipi yang kita letak ni dah kita ubah-suai sikit, tapi Insya-Allah, kesedapan takkan berkurang. Harini teringin nak ngomel Bahasa Inggeris lak. Jom buat!

Eggless Bread Pudding

1 1/2 cup milk
1 1/2 cup cream = 1 can (300g)
1 cup castor sugar

Use a whisk to dilute sugar with milk. Mix in the cream a few spoonfuls at a time. Make sure it is mixed smooth everytime or else it will look lumpy and curdled. Set aside.

Half a loaf of bread
some butter
some raisins
some almond flakes

2 tblsp brown sugar
1 tblsp cinnamon powder - mix these two to make Cinnamon Sugar


Butter the baking tin / dish. Cut the crust off and butter the bread slices.

Arrange bread until they cover the bottom of the pan / dish.

- I prefer to pour some of the cream & milk mixture first before arranging the first layer of bread so that I don't have to wait very long for the mixture to soak through to the bottom.

Sprinkle the cinnamon sugar and raisins.

- I always poke the raisins into the bread so that they'll be nicely embedded in the pudding and this makes cutting so much easier.

Build the layers of bread, cinnamon sugar and raisins until your pan / baking dish is full.

Pour the milk & cream mixture and let it soak through for at least 5 minutes. Sprinkle almond flakes just before putting it into the oven.

Bake in a preheated oven Gas Mark 5, 190C, 375F.

- I love the pudding to be golden brown all over so I always give it about 35-40 mins. But if you like your pudding to be a bit soft and gooey, 25 mins is sufficient.

In the original recipe, Azmil uses nutmeg powder on the top layer and finish off with walnut.

He also serves this with custard or whipped cream. I'm not that rajin so... makan togel-togel gitu ajelah. But believe me, it's delicious enough as it is.

Until later...

Wednesday, November 4, 2009

Menyambung Wire...

Pagi tadi ke kedai repair komputer. Sah, LAN port komputer ni rosak.

Jadi pilihannya ialah samada tukar board (hmmm.... hassle, big hassle!) atau guna WIFI sahaja (kena call TelBru untuk order modem wireless, sesuatu yang tak boleh nak agak bila boleh dapat) atau guna PCMCIA Card for LAn port (BND 85.00 - boleh terus plug-in dan guna).

Call Cik Abang tak dapat-dapat, so kita terus beli aje bende alah tu. Inilah namanya unexpected expense... he he he...

Yang penting Wire sambung balik. Tak payah pinjam-pinjam komputer orang. Rimas tau.

Until later...

Tuesday, November 3, 2009

Wire terputus...

Sebenarnya, sejak dari hari Khamis lepas, kita tak dapat beronline. Ceritanya macam ni.

Mula-mula tu komputer tak nak hidup, jadi kita pun bawak ler ke kedai repair. Rupa-rupanya baterinya dah out. Tapi kalau baterinya dicabut dan hanya guna kabel, komputer boleh ON. Cewah, happy ler. Ingat besor nor problem!

Bila sampai rumah, kita dengan penuh semangat terus ler sambung tapi tup! tup! tak boleh masuk line ler pulak. Alaaahaai... ada-ada aje. Telefon TelBru, mintak technician datang check, tapi berhari-hari tak jugak sampai-sampai. Yang buat geram sangat, masa kita takde kat rumah, masa tu ler dia call nak datang.

Hmmmm.... kita ni kan, sungguh pun full-time-housewife, bukannya senang-lenang melingkor kat dalam rumah. Keluar masuk, keluar masuk, memacam benda nak dikejar dan nak dibuat. Mananya nak dok tunggu dia yang entah bila nak datang tu.

Pastu dah kita takde kat rumah, call ler handphone. KB-Seria ni bukannya besar sangat. Kat mana pun kita dalam kawasan ni, 20 minit drive mesti dah boleh sampai rumah kan? Hangin! Hangin!

Sudahnya, semalam (Isnin) baru dia sampai. Check punya check, rupanya komputer kita jugak yang tak boleh nak connect. Modem ok. Alaaaaa.... sabor ajelah.

Malam ni pinjam komputer ofis Cik Abang. Ada e-mail penting yang perlu dibaca, ada urusan yang perlu dilunaskan. Bila dah biasa hidup dengan dunia cyber, payah jugak bila Wire putus.

Pagi tadi pulak kitaorang ke Hospital Ripas untuk ujian Audiometry Adeem. Memang confirm ada masalah pendengaran, terutama telinga kiri. Keputusan ujian kitaorang dah hantar terus ke pejabat Dr. Zul kat JPMC. Kita tunggu ajelah apa kata Dr. bila jumpa dia 24hb nanti.

Ok, kita nak ke dapurlah pulak. Tadi petang kita beria-ria masak Asam Pedas Ikan Merah, sayur campur dan telur asin. Tapi itulah... ada aje nak jadi anti-climax. Kita lupa masak nasik! Aduuuui.... dah ler kena tunda makan malam. Hu hu hu hu...

Until later...

Tuesday, October 27, 2009

Ops Hannan...

Sedang menunggu...

Tajuk harini macam nama operasi jalanraya masa hari perayaan la pulak ek? he he he... Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Walaupun Hannan sebenarnya nervous tapi dia control cool, cuma bila orang dah sorong dia nak ke Ops Theater tu baru ler nampak muka dia pucat. Kali ni kita tak ikut masuk, mungkin sebab dia dah dikira budak besar agaknya.

Suspen abis dah muka si Hannan...

Macam biasa, kita dengan Cik Abang lepak-lepak kat kafe. Dalam pukul 5.15ptg naik ke atas semula. Kitaorang pun tunggulah. Dalam 6.10ptg barulah dia keluar. Ish! Dari pukul 4.40ptg tu. Cuak dah kita ni. Kenapa lama sangat? Aarif dulu kejap aje.

Kata Dr. Zul, Hannan's condition was really bad and she has been suffering for a very long time. Mucus kat dalam telinga Hannan sangat-sangat pekat dan banyak. Jadi dia perlu masa yang lebih untuk keluarkan semuanya. Kena buat dengan berhati-hati dan perlahan-lahan. Tengok gambar...

Gambar telinga kiri sebelum & selepas, gambar adenoids bengkak di belakang hidung kanan...

Apapun, kita bersyukur semuanya selesai dengan selamat. Sekarang Hannan kena latih semula telinga dia untuk mendengar dan otak dia kena belajar semula memproses apa yang dia dengar. Bukan terus automatik mengagak-agak aje apa yang dia dengar. Benda ni pun baru aje pagi tadi kitaorang perasan dia buat. Takpelah... she's still young, she'll readapt the correct way soon Insya-Allah.

Baru keluar dari Ops Theater...

Two cured, one more to go.

Until later...

Thursday, October 22, 2009

The Farewell...

Dua handphone MyIman, beg-beg comel dan kad untuk rakan-rakan menulis kata-kata perpisahan...

Alhamdulillah, semalam Majlis Perpisahan untuk Mala dan Emma dah pun selesai. Lega sebenarnya sebab ni kali pertama pegang duit yang banyak dari pungutan kawan-kawan. Tak sangka pulak ramai yang setuju untuk menyumbang. 17 orang semuanya. Bila dah gitu, jadi banyaklah jumlahnya.

Inilah dia akhirnya hadiah untuk diaorang berdua. Handphone MyIman yang ada perisian 30 juzuk Al-Quran, kitab hadith dan tafsir, azan dan petunjuk arah kiblat selain fungsi biasa telefon.

Mala...

Kak Wani sebenarnya yang mencadangkan. Mula-mula tu kita ragu-ragu jugak, cukup ker nak beli handphone sorang sebijik. Kalau nak beli pun, mesti tak dapat yang upmarket. Tengah berbincang tu, kita teringat pulak handphone baru Ju yang dia bawak balik dari KL. Nak tanya harga, Ju sendiri pun tak tau sebab masa suami dia beli dia tak menengok dan tak menanya.

Emma...

Kita pun apa lagi, Google ajelah. Jumpa sorang dealer kat Johor. Bila dah order, risau jugak memikirkan kalau handphone tak sempat sampai atau tak sampai-sampai. Hui... duit orang tu. Alhmdulillah, akhirnya semuanya selamat. Rezeki masing-masing tak ada siapa yang menjangkanya. Tak pernah kasi hadiah farewell sehebat ni he he he... Lagi sekali, ini semua rezeki.

Gambar ramai-ramai sambil tersenyum manis...

Until later...

Monday, October 19, 2009

Satu... Dua? Tiga?

Kalau engkorang ingat, dulu kita pernah ceritakan perihal masaalah pendengaran Aarif.

Bila dah macam tu, tentunya kitaorang lebih meneliti tahap pendengaran anak-anak yang lain. Bila perhati betul-betul, Hannan dan Adeem pun nampak ada simtom-simtom tak mendengar.

Kebetulan hari Jumaat 16hb memang follow-up appointment untuk Aarif. Pagi tu kami ke Panaga Clinic untuk buat Ujian Pendengaran (Audiometry). Astaghfirullah... hearing loss Hannan hampir mencecah 50%!

Bila berbincang dengan Dr Zul - Pakar ENT di JPMC, diagnosnya sama macam Aarif. Glue-ear atau Otitis Media with Effusion. Kita dan Cik Abang tak mau berlengah lama, biarlah perkara ni diselesaikan secepat boleh. Operation Grommet Insertion untuk Hannan dah dijadualkan hari Jumaat 23hb ni.

Telinga Adeem pun menampakkan abnormality, malleus telinganya dah tertolak ke atas dari kedudukan yang sepatutnya menegak. Lihat sini untuk diagram.

Kemungkinan Adeem pun perlu pembedahan yang sama. Tapi kena buat Audiometry dulu untuk tentukan tahap tak mendengar dia. Dah cuba buat di Panaga Clinic, tapi tak dapat data sebab Adeem tak faham arahan. Dr. Zul sarankan kitaorang ke Hospital Ripas, BSB. Kat sana diaorang dah biasa buat Audiometry untuk kanak-kanak.

Kata Nurses kat kaunter, diaorang akan aturkan appointment pada hari Sabtu 17hb dengan Hospital Ripas. Jadi kita ni pun beria-ria ler tunggu telefon dan siap-sedia nak ke BSP on short notice, tapi senyap-sunyi aje pulak.

Sekejap tadi kita call JPMC, rupa-rupanya takde siapa pun yang buat arrangement tu. Hmmm... sabor ajelah. Ni kita tengah tunggu nak confirm dengan Cik Abang bila dia boleh tinggalkan pejabat untuk ke Hospital Ripas. Ujian ni mesti dibuat sebelum Jumaat sebab kalau nak buat pembedahan untuk Adeem, biarlah bersaing dengan Hannan. Jadi tak perlulah nak berulang-ulang dua-tiga kali.

Yang Cik Abang pun ada cerita jugak. Dia beritau Dr. Zul, hidung dia dah bertahun-tahun bermasalah. Alang-alang gitu, terus aje buat CT Scan. It turned out, tulang hidung dia bengkok! Bila dah macam tu, bahagian dalam hidung dia membengkak. Tu yang jadi hidung dia kadang-kadang tak dapat menghidu dan kadang-kadang tersempal sampai payah nak bernafas.

Dr. tanya dia, ada pernah accident ke? Hmmm... accident from his rugby playing days ler tu. To truly resolve this issue, he has to have... yes... an operation.

Adoooi... anak-anak problem telinga. Bapak problem hidung. Ibu? Ibu ada problem lain... tak larat nak cerita.

Entahlah... perasaan kita ni bercampur-baur. Pelik, risau, sedih, bersalah.. nak nangis ada, nak ketawa pun ada. Akhirnya redha dan syukur ajelah. Ini cuma cubaan-cubaan kecik yang boleh diperbetulkan Insya-Allah.


p/s 1 : Hannan bertepuk gembira bila Dr. cakap dia pun ada masalah sama macam Aarif. Dr. pelik kenapa dia happy sangat. Kita cakap kat Dr. "She is happy that she is proven right!" Maksudnya selama ni dia tak bohong dan terbukti dia bukanlah budak degil yang tak mau mendengar kata.

Dia sememangnya tak dapat mendengar nada-nada rendah yang kita guna untuk menasihat dan memanjakan dia. Yang dapat dia dengar hanyalah jerit-kuat suara marah-geram kita pada dia. Ahhh... ruginya waktu-waktu yang berlalu.

p/s 2 : Alhamdulillah, Amiin so far takde masalah. Telinga dia masih in pristine condition. Apapun, kena berjaga-jagalah nampaknya.

Until later...

Wednesday, October 14, 2009

Dan seterusnya...

Dah lama betul rasanya tak update blog ni. Ada aje hal yang nak dibuat semenjak dua menjak ni.

Kat sini masih lagi penuh dengan undangan Hari Raya. Kita pun apa lagi, orang dah jemput, pergi ajelah kan? Makan tu... rezeki jangan ditolak.

Sekarang ni tengah buat persiapan untuk Farewell Mala & Emma. Diaorang dah nak balik KL dah. Biasalah kalau ada kawan-kawan yang nak pergi, kan mesti diraikan dengan Majlis Perpisahan / Farewell.

Selalunya kitaorang adunkan sebagai acara Kopi2 Morning atau Afternoon Tea untuk para ladies sahaja.

Mala ni dah 8 tahun dah kat Brunei. Dari anak dua, dah jadi tiga. Dia cerita, masa dia mula-mula sampai, tak ada apa-apa sangat kat KB & Seria. Memang pekan kecik aje. Kalau nak ke kedai-kedai besar, kena ke Bandar Seri Begawan.


Mala dan suaminya, Hasni...

Jambatan Muhibbah pun belum ada lagi, jadi kalau nak ke Miri kena naik feri. Dua feri untuk menyeberang dua sungai. Adventure.... Kelakar ada, kesian pun ada bila dengar dia cerita kisah-kisah dia kat sini dulu. Kiranya kitaorang yang datang kemudian ni beruntung la... dah ada macam-macam.

Emma pulak, sebelum ni dia pernah tinggal di Brunei, kemudian balik ke KL dan datang semula, tapi kali ni tinggal kat Miri. Suami dia berulang-alik ke pejabat sini tiap-tiap hari. Walaupun macam tu, dia tetap berusaha untuk join aktiviti-aktiviti kitaorang kat Panaga. Sekarang ni dia tengah sarat mengandung anak dia yang ke empat. Semoga selamat ya Emma.

Emma paling kiri... pastu Oni, kita dan Shida...

Teringat kat Farewell Kartina, Aelina dan Biba dulu. Sekarang giliran Mala & Emma... satu hari nanti, pastinya giliran kita akan tiba. Ish... sedih tau! Ditinggalkan dan meninggalkan kawan-kawan. Tak boleh tahan... sayu...

Untuk penutup, inilah gambar kitaorang sekeluarga sempena Hari Raya tahun 2009. Masa kat kampung aritu tak sempat... Alhamdulillah, dah pun selamat diframekan.



Until later...

Monday, October 5, 2009

Pasca berhari-raya di kampung....

Gambar raya kami sekeluarga di Parit Besar...

Alhamdulillah, Aidilfitri di kampung telah pun selamat kita sekeluarga rayakan. Nampaknya kali ini kita beraya rumah makcik-pakcik di sekitar Batu Pahat aje, tak dapat ikut Mak, Abah dan adik-adik beraya jauh macam tahun-tahun lepas.

Selalunya paling tidak, dapat beraya ke Kulai (rumah Pak Long), Johor Baru (rumah Pak Ngah) dan Kluang (rumah Pak Uda). Kadang-kadang dalam perjalanan, ada jugak singgah rumah saudara-mara Abah & Mak kat mana-mana in between.

Sungguh gitu, kita bersyukur sangat sebab tahun ni adalah Hari Raya yang paling tenang yang kita dilalui sejak sekian lama. Tiada krisis dan tiada pening kepala! Syukur pada Mu Ya Allah! Semoga setiap pertemuan keluarga akan berakhir dengan ketenangan dan harmoni seperti kelmarin. Amiiin ya Rabbal Alamiin...

Bermaafan sambil mengagih duit raya pada cucu-cucu, anak-anak & anak-anak saudara...

Kita dah pun selamat kembali di bumi Brunei ni hari Rabu 30hb Sept lepas. Dah sempat pun menjamu selera di 5 Majlis Rumah Terbuka, berturut-turut siang malam. Hmmmm... ada lagi ni dalam hari-hari mendatang. Tahun ni kita tak buat rumah terbuka, kasilah peluang orang lain pulak... kan? kan?

Kelmarin, sampai aje kat rumah, kita cepat-cepat keluarkan balang-balang kuih dan isikan dengan kuih-kuih raya yang kita bawak dari kampung. Adalah serba sedikit. Cukuplah sekadar untuk mengisi 6 balang.

Bukan apa, kita tak nak jadi macam tahun lepas. Sempoi-mempoi di Hari Raya, tetiba orang tekan loceng rumah pukul 9.30 mlm. Orang Brunei datang beraya! Adooooi.... malunya tak terkata. Diaorang lengkap cantik berbaju raya, kita cuma sempat sarung Abaya hitam aje. Dah tu kelam-kelibut keluarkan kuih raya yang memang rasanya cuma 3 jenis aje, dah tu letak-letak aje atas piring. Serik kak oi! Serik!

Syawal masih lagi 2 minggu berbaki. Ramai dari kalangan kawan-kawan yang bersungguh-sungguh menemankan suami masing-masing berpuasa Sunat Enam. Semenjak setahun-dua ni puasa sunat ni semakin popular di kalangan para suami rakan Malaysia. Alhamdulillah... kan bagus macam tu. Suami puasa sunat, isteri puasa ganti. Saling teman-meneman, mesra gitu! Macam ni ler baru saling lengkap-melengkapi namanya...

Anak-anak menuai duit raya. Dah selamat pun tersimpan semuanya kat akaun Tabung Haji masing-masing. Tak boleh simpan kat Ibu lama-lama. Kurang nanti dividennya, rugi! Ha ha ha ha...

Until later...

Friday, September 18, 2009

Balik kampung & Selamat Hari Raya....



Alhamdulillah, kitaorang dah selamat sampai di Batu Pahat, Johor hari Selasa lepas. Dah sampai sini, memang tak sempat duduk lama, asyik ler keluar masuk. Shopping-shopping kak oi...

Penat kepala menoleh sebab banyak sangat pilihan. Dari barang yang berjenama dan mahal (diskaun sampai 70% mana tak gila kita jadinya?) hinggalah barang yang murah-murah, tak menang tangan kita nak meneleknya.

Siang tadi dapat ler kita membeli beberapa jenis kuih-muih raya. Cik Abang pulak pergi ke Parit Kemang dengan Mak dia untuk beli kerepek-kerepek. Kali ni kita tak dapat ikut sebab sibuk memasak untuk berbuka.

Hai... memang tiap-tiap tahun kuih raya kita yang tunjuk-tunjuk aje, takdenya sempat nak buat-buat sendiri. Lagipun ni satu cara kita menjana ekonomi peniaga-peniaga Melayu. Cewah! Punya cantik cover line!

Tapi betul apa, tadi masa jalan-jalan kat kedai jual jubah dan baju kurung, kita nampak kakak yang berniaga tu masukkan dua-tiga gumpal besor duit hasil jualan ke dalam pouch bag dia. Terbeliak kejap bijik mata kita. Pergh... sedap betul dia niaga. Insya-Allah, kita pun bakal menambah sales dia esok lusa mendatang, ha ha ha ha...

Tadi lepas siap bertarawikh, kita sempat ngeteh jap (maksudnya pergi pekena teh tarik!) dengan Cik Abang, berdua aje dating. Anak-anak tinggal. Dah jadi macam satu kemestian pulak bila kitaorang balik-balik kampung. Seronok!

Tahun ni giliran kitaorang beraya di rumah Mak Abah sendiri di Parit Besar. Adik pertama kita Fiz dalam perjalanan balik ni, baru bertolak pukul 1.00 pagi tadi (sekarang pukul 1.40pagi). Adik kedua, Noora dan adik bungsu, Daus akan balik petang ini pulak. Bakal sesak ler rumah ni. Yelah, anak-anak dan anak-anak sedara dah bertambah-tambah kan tahun ke tahun. Tapi adatlah tu kan...

Kita ni sebenarnya ada arrangement yang pelik sikit pasal Hari Raya ni. Untuk pengetahuan, Cik Abang kita pun orang Batu Pahat. Rumah Mak Bapak dia kat Minyak Beku (MB), lebih kurang 30-40 minit drive aje dari Parit Besar (PB).

Jadinya, bila giliran beraya kat PB kita akan memasak kat MB sebab kat PB adik-adik kita ada. Tapi bila giliran beraya kat MB, kita akan memasak kat PB sebab adik-adik perempuan semua beraya kat rumah mertua masing-masing. Kalau kita tak ke PB, alamat tak berasap ler dapur. Haaa... gitulah gayanya. Bersyukur jugaklah dapat orang 'sekampong' kan.

Tinggal beberapa hari aje untuk kita semua berkesempatan berpuasa. Malam ni malam meneropong anak bulan. Kita tunggu ajelah samada Hari Raya turun pada hari Ahad atau Isnin.


Sebelum kita tutup cerita untuk harini, kita nak ambik kesempatan untuk ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca 'Wired to the World...' Tak kiralah yang kita kenali atau tidak, yang diperantauan atau yang selamat di kampung halaman masing-masing.

Terima kasih sebab sudi mengunjungi blog kita yang tak seberapa nih. Ampun maaf jugak sekiranya ada kekasaran bahasa dan merepek-meraban yang tahap gaban hentah hapape tu ye...



Semoga kita semua dalam limpahan kurnia Rahmat dan Keampunan dari Allah yang Maha Kuasa.

Until later...

Saturday, September 12, 2009

Majlis Khatam Al-Quran Ramadhan 1430 / Sept 2009...

Isi kat dalam bekas Tupperware tu...

Alhamdulillah, selamat selesai dah Majlis Khatam Al-Quran tahun ni hari Khamis 10hb Sept kelmarin.

Sedang membaca Al-Quran beramai-ramai...

Ikut perancangan asal, majlis ni nak buat hari Sabtu 12hb tapi disebabkan Oni dan Ju dah nak bertolak balik KL, tarikh dianjakkan ke hari Jumaat 11hb. Kemudian dapat tau pulak pada hari tu, Kak Salina dan suami tak dapat datang sebab ambik anak diaorang kat Airport Miri, jadi dianjakkan lagi pada hari Khamis.

Cik Abang sedang baca doa penutup...

Macam nak gelabah jugak tuan rumah... hu hu hu... Nasib baik persediaan dah buat awal. Hari Isnin, daging dah siap potong. Selasa ayam dah siap basuh. Rabu bawang dah siap kisar, jadinya lepas tadarus hari Khamis terus ajelah kita memasak.

Tapi dah nak jadi cerita kan, masa mula nak masak tu, baru perasan garam yang dalam bekasnya dah tinggal sikit. Cari-cari garam spare, takde ler pulak dalam gerobok dapur tu. Aduuuh... boleh pulak out! Selalunya berpeket-peket garam kat dalam tu. Macam nak hangin pun ada jugak... tapi bersabor-sabor ajelah. Dah nama pun tengah puasa kan!?

Pergi cilok garam dari rumah Su, tapi tetap tak cukup. Last-last call Cik Abang, pesan kat dia belikan garam kat Supasave bila balik dari pejabat. Tapi entahlah ek... by the time Cik Abang balik, macam tak compute aje nak tambahkan garam. Mungkin dalam kepala dah set, "Lauk ayam dah siap dah", jadi kita biorkan aje sampai ke buka.

The moment kita suap aje nasi ke mulut... eee... tawornyeee... Alaaaahai, maaf ler kengkawan ya, such a letdown. Nasib baik lauk daging masak kicap tu ok, dan ada ikan kering yang Linda gorengkan. Naik jugaklah rasa ayam masak lemak kita tu. Makanan-makanan lain macam biasalah, kengkawan bawak sampai sarat meja.

Kita outsourcekan masak nasi pada Kak Zati. Teh tarik pada Kak Salina dan Linda. Air kordial kepada Nora. Terimakasih jugak takeover turn kita ambik budak-budak kat sekolah ya Mala dan Oni.

Salah-satu meja. Ini belum penuh lagi ni... banyak lagi yang tiba lepas gambar ni diambik... (Gambar cilok dari FB Zaida)

Anyway, selain yang tu, yang lain-lain semuanya ok. Dalam pukul 5.00ptg, Noorlyn sampai dengan bekas-bekas Tupperware untuk telur dan gula-gula. Bekas Tupperware 30 biji tajaan Syafinaz dan Surina. Telur-telurnya dari Syafinaz, Oni dan Nora. Noorlyn supplied the gula-gula dan beg plastik comel.

Kuning dah ler temanya termasuklah pulut kuning dari Ina...

Kita pulak teringin nak ada bunga telur, jadi beli ler kat kedai Bintang Pandan 5. Telurnya dari Zaida dan tempat cucuknya si Ina yang buatkan. Tak selebat last year tapi bolehlah, janji ada. Lepas tu Zainal pulak tiba bawak tuala kecik. Wah, lumayan jugak souvenir tahun ni.

Para suami dan anak-anak lelaki...

Selepas selesai para suami dan anak-anak lelaki berkhatam, buat sessi ambik gambar. Untuk para isteri dan anak-anak perempuan, sessi ambik gambor dibuat lagi 5 minit sebelum buka sebab tunggu semua tiba. Itupun ada yang takde.

Para isteri dan anak-anak perempuan...

Apapun, rasa lega sebab matlamat dah selesai. Semoga aktiviti ni akan diteruskan untuk tahun-tahun akan datang Insya-Allah.

Malam tadi, majlis berbuka kat rumah Surina. Kiranya penutup untuk Ramadhan tahun ni. Mulai minggu ini, rakan-rakan Malaysia akan beransur balik ke kampung masing-masing. Termasuklah kitaorang pada hari Selasa 15hb nanti.

Dah nak kena fikir pasal pack-mengepack ler pulak!

Until later...

Sunday, September 6, 2009

Minggu ketiga Ramadhan...

Alhamdulillah, dah nak masuk pun kita ke minggu ketiga Ramadhan tahun ni. Setakat ni semuanya berjalan lancar. Menu untuk berbuka berubah-ubah. Kadang-kadang yang mudah-mudah aje, kadang-kadang buat yang special sikit. Sahur lagi ler simple, telur dadar dengan ikan goreng aje selalu...

3 rakan dah berbesar hati menjemput berbuka puasa beramai-ramai kat rumah diaorang, iaitu Hani, Linda dan Azua. Syukur rezeki hujung minggu. Macam clockwork sampaikan si Aarif bila sampai aje hari Jumaat mesti tanya, "Kita ada nak pergi rumah siapa-siapa ke untuk buka malam ni?". Sabor ajelah...

Seperti Majlis Tadarus, Majlis Berbuka Puasa tahun ni lebih meriah. Group rakan Malaysia dah semakin ramai berbanding dulu. Jumlah anak-anak pun berlipat-ganda.

Terkejut masa kat rumah Linda kelmarin, penuh sesak rumah! Bila masuk waktu berbuka, tak nampak meja dan makanan dek ramainya orang. Capai ajelah apa makanan yang dapat untuk berbuka... ha ha ha...

Kiranya ini ialah minggu akhir Tadarus Al-Quran dan Insya-Allah, Majlis Khatamnya nanti akan berlangsung pada hari Jumaat 11hb Sept di rumah kita.

Para suami dan sebahagian anak-anak lelaki di Majlis Khatam Ramadhan 1429/2008

Menunya dah pun kita tentukan. Masakan mudah-mudah aje ala kampung. Dua jenis lauk dan satu sayur tumis. Sambal belacan, telur asin dan ikan kering. Tapi nak kena bertanya-tanya jugak bab kuantiti makanan yang nak dimasak. Naya kalau tak cukup kak oi...

Kuih-muih kita tak risau sebab kawan-kawan mesti bawak banyak punya. Selalunya sampai penuh meja.

Para isteri dan sebahagian anak-anak perempuan di Majlis Khatam Ramadhan 1429/2008

Mungkin lepas tadarus esok, kitaorang akan bincang pasal hal-hal lain mengenai Majlis Khatam. Mana tau kalau nak buat macam tahun lepas, ada bunga telur dan pulut kuning.

Pulut kuning sumbangan Ina. Bunga telur Kak Zati beli di Miri dan tepaknya dipinjam dari Kak Zura...

Teringat pergi ke Tamu mencari telur Gred C tahun lepas. Last resort sebab kat tempat lain memang takde. Sarung telur kat bunga telur readymade tu teramatlah keciknya. Jangan kata Gred A, Gred B pon takleh masuk. Nasib baik ada sorang Nyonya tu jual Gred C.

Tapinya semalam kita tanya kat Nyonya yang sama, boleh tak dia carikan telur Gred C. Dia kata, "Gred C tala... cuma Gred A sama B saja." Alamak! Camne? Nak kena bawak ke perbincangan esok nampaknya.

Until later...

Sunday, August 30, 2009

Pasta Bake...

The finished product...

Ok, dah buat Sos Pasta Pedas, jom buat Pasta Bake pulak.

Pasta Bake

250g pasta makaroni / spiral
Sos Pasta Pedas
Chedder Cheese Slices
Mozarella Cheese
Chilli Flakes

Rebus pasta hingga empuk dan letakkan ke dalam bekas tahan oven yang telah dilengser dengan sedikit mentega.

Sudukan Sos Pasta Pedas ke atasnya dengan rata. Susun chedder cheese slices di atas sos. Kemudian, letak pulak mozarella cheese. Taburkan chilli flakes.

Bakar dalam oven panas Gas Mark 6, 200C, 400F selama 20 minit. Angkat dan hidang.

Step by step...

Campuran rasa creamy dari keju dan pedas dari sos & chilli flakes memang terangkat. Tak muak.

Tapi kalau buat untuk anak-anak yang tak tahan makan pedas, tak payahlah guna Sos Pasta Pedas dan chilli flakes tu. Guna sos pasta yang biasa pun boleh. Yang penting benda ni senang dan cepat untuk dibuat.

Insya-Allah, kalau anak-anak jenis yang suka makan pasta dan pizza, this one could be a hit!

Until later...

Friday, August 28, 2009

Sos Pasta Pedas...

Inilah sosnya...

Rasanya dah lama betul tak masukkan resipi masak-masak. Bukan apa, kengkadang timbul rasa segan. Betapa ramai ler lagi orang-orang dikalangan kengkawan dan bloggers yang lebih terrer memasak. Tapi in the spirit of sharing, kita teruskanlah jua.

Kali ni resipi Sos Pasta. Dulu selalu beli yang readymade aje. Pernah jugak buat sendiri, ikut resipi asli Itali. Siap panggang lada benggala, rebus tomato, buang kulit, biji-bijinya dan apa bagai lagi. Sedap memanglah sedap tapi leceh punya kerja... Bak kata Mak kita, "Dah dasar (huruf) Mim melingkor..." he he he... malas ler tu!

So lepas bertahun-tahun membeli yang readymade, timbul ler ilham nak buat sendiri. Dengan semangat nak mencipta kelainan, kita buat sos ni ada rasa pedas-pedas sikit. Meh masak!



Sos Pasta Pedas

400-500g ayam / daging cincang
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
2 sudu teh Italian Herbs
1 helai Bay Leaf
1 tin kecil pes tomato
2 sudu besar lada kisar
2 sudu besar sos lada hitam
1 sudu kecil gula merah
1/2 cwn sos tomato
1 1/2 cwn air
Sedikit butter
Sedikit olive oil
Garam secukup rasa

Potong dadu bawang besar, bawang putih dan halia. Kalau nak cepat, kisarkan semua pun boleh.

Panaskan olive oil dan butter. Tumiskan bawang-bawang, halia dan lada kisar hingga pecah minyak.

Masukkan ayam / daging cincang tadi dan gaul rata hingga masak semuanya. Kemudian masukkan air, pes tomato, sos tomato, sos lada hitam, bay leaf, italian herbs dan garam.

Masukkan juga gula merah. Macam pelik sikit kan? Tapi gula ni menaikkan rasa tomato dan mencantikkan merah sos.


On the stove...

Reneh hingga semua rasa sebati. Angkat dan hidang bersama mana-mana jenis pasta. Selalu juga kita gunakan sos ni untuk buat Pizza dan Pasta Bake.

Nak beritau, sos ni berkuah sangat pekat tau. Setakat ni, penerimaan keluarga dan kengkawan bagus, so kalau inginkan kelainan rasa untuk Sos Pasta, bolehlah cuba.

Until later...

Monday, August 24, 2009

Ramadhan Al-Mubarak...

Kurma Kurniaan Sultan Brunei...

Selamat menyambut bulan Ramadhan yang penuh keberkatan untuk semua. Hari ini dah masuk hari ketiga kita berpuasa. Syukur juga, tahun ni Malaysia dan Brunei berpuasa pada tarikh yang sama.

Alhamdulillah, rancangan Tadarus Al-Quran muslimin dan muslimat dapat juga diteruskan buat kali kedua Ramadhan ni, dengan lebih ramai penyertaan.

Ini memang berita baik, nak-nak bagi kumpulan muslimah. Yelah, kan nanti kitaorang mesti ada waktu-waktu uzur. Kalau ramai yang sertai, ramailah yang boleh cover. Cuma harapnya janganlah pulak nanti beramai-ramai pulak saing uzurnya he he he...

Kita ni pun baru aje menceburi aktiviti bertadarus ni. Nasib baik ada Kak Zati yang mencadangkannya. Mula-mula tu macam segan-segan jugak nak join, yelah kita tau banyak kekurangan kita dalam bacaan Al-Quran. Tapi Kak Zati pujuk dan beritau ini sebagai permulaan langkah mencari ilmu. Tujuannya supaya semua dapat belajar sama-sama dan berkongsi ilmu mana yang ada. Dalam pada tu dapatlah jugak fadilat membaca al-Quran tu sendiri. Last-last fikir, belasah ajelah he he he...

Tahun ni jugak tahun ketiga kita bertarawikh dengan kadar yang regular. Sebelum ni memang jarang sangat pergi. Asyik ler mengandung, bersalin dan melayan anak-anak kecik, amah pun takde.

Ni anak-anak dah besar dan dah ada amah yang boleh dipercayai, baiklah ambik kesempatan. Harapnya, Allah akan tetap memberi kemudahan untuk kita teruskan aktiviti ni di tahun-tahun akan datang Amiiin...

Adeem mula berpuasa setengah hari. Adalah jugak nangis-nangis sebab lapar, yelah first time ler katakan. Yang kelakarnya, dia ni bukannya budak yang jenis pemakan pun. Selalu sampai kita kena paksa-paksa dia makan. Tapi bila suruh puasa laporlah pulak!

Buka tengahari bukannya dia makan nasi pun. Hari pertama, dia minum jus 2-3 cawan dan makan donat aje (beli kat Supa Save, special request - kesian tengok dia dah meleleh-leleh air mata). Semalam, takat pisang sebiji, jus secawan. Pukul 5.00ptg baru makan lagi roti 3 keping. 3 keping aje tau! Masa makan malam barulah nak makan nasi, itupun berpujuk. Allah... sabor ajelah. Nasib baik Hannan dan Aarif tak ada masalah.

Hmmm... Kurma Kurniaan Sultan Brunei dah dapat dah semalam. Nampaknya tahun ni, kurmanya lebih sedap dari tahun-tahun terdahulu. Kat sini jualan kurma kat kedai-kedai tak sebanyak macam kat Malaysia. Dah tiap-tiap tahun Sultan kasi percuma, buat apa nak membazir beli-beli lagi yang lain kan.

Ah! Dah pukul 7.30pg. Dah janji nak tumpang Linda untuk ke rumah Ina. Kena off sekarang, kalau tak sah lambat! Tadarus mula pukul 8.00...

Until later...

Monday, August 17, 2009

Aarif : Post Surgery - Siri 2

Kata pakar anesthetist, Aarif akan sedar dalam pukul 7.30mlm, tapi pukul 8.00mlm dia tak bangun, pukul 9.00mlm pun tak bangun. Cuba jugak kejutkan dia tapi dia macam budak mengigau. Tak tentu arah menangis, meronta-ronta tapi mata tetap tertutup.

Akhirnya biarkan ajelah dia tidur, sedangkan tidur-tidur biasa pun payah nak dikejut apakan lagi tidur kena bius! Pukul 1.30pg baru dia jaga. Kita bawak pergi bilik air dan mandikan dia lebih-kurang.

Dia terus tuntut nak makan ais-krim yang Dr. dah janji kat dia. It's one simple treat untuk legakan tekak yang perit sebab dimasukkan tiub pernafasan masa surgery dan pada masa yang sama, buat budak happy.

Dah tu makan pulak bubur ayam yang Nurse simpankan kat pantry. Cayalah Nurse... siap panaskan lagi sebelum hidang.

Esok paginya Dr. Zul datang dan lepas siap check, dia kata Aarif dah boleh balik. Hari Isnin dah boleh pergi sekolah pun. Cuma buat sebulan akan datang ni, dia tak boleh lasak-lasak dan berenang. Kalau mandi pun kena hati-hati, jangan sampai masuk air. Tapi Insya-Allah lepas tu, everything will be as normal.


Sarapan scramble eggs aje tapi gaya hidangan eksklusif!

Dalam perjalanan balik, kita dengan Cik Abang saja ajelah test-test dia boleh dengar ke tidak. Remarkable betul! He can hear, he really can! Ketara benar perbezaannya.

Kita tanya, kalau dulu macamana dia dengar kalau kita panggil dia. Dia kata "Aarif dengar sikit-sikit tapi lepas tu Ibu dah marah!" Alaaa... budak, kesiannya kau.

Apapun kitaorang bersyukur sangat that he gets his hearing back. Air muka dia pun dah ceria, taklah nampak lost and confused lagi.

Depan pintu masuk JPMC...

Until later...

Sunday, August 16, 2009

Aarif : Post Surgery - Siri 1



Hari Jumaat kelmarin, kitaorang bertolak dari rumah pukul 11.30pg. Sampai di Jerudong elok-elok pukul 12.45tghari, Cik Abang terus cari majlis untuk Solat Jumaat. Kitaorang tunggu dalam kereta aje.

Selesai solat, Cik Abang hantarkan kitaorang dulu kat JPMC, kemudian bawak yang lain-lain makan tengahari dan hantar diaorang ke rumah Pak Pin.

Sampai kat hospital kitaorang terus dibawak ke Paediatric Ward. Janjinya pukul 3.30ptg baru diaorang akan ambik Aarif ke Operation Theatre, so kitaorang lepak-lepak ajelah kat bilik tengok TV.

Dalam pada tu sempat jugaklah keluar ke balkoni, tengok military excercise sempena Bridex 2009. Benda ni buat kat Royal Brunei Polo & Riding Club, sebelah aje dengan hospital. Bilik kitaorang pulak mengadap pantai, syok ler tengok demo.



Berdesap-desup jet terbang atas kepala, belum lagi bunyi helikopter, kereta kebal, bot dan jugak bom meletup. Meriah! Eh lari lak cerita...



Anyway, dalam pukul 2.30ptg, nurse datang kasi Aarif ubat. He he... punyalah kuat ubat tu, terus mamai si Aarif. Siap cakap "Aarif dizzylah Ibu!" Nak kesian ada, nak ketawa pun ada. Akhirnya dapatlah dia tidur dalam sejam.

Pukul 3.30ptg dia bangun, tanya bila lagi nak pergi operate. Dah lambat dah dia kata. Kita layankan ajelah. Tengoklah muka dia tu... mamai.



Pukul 4.00ptg diaorang sorong dia ke Op Theatre. Kita pulak salin baju scrubs untuk iring masuk. Bila Aarif dah diberi general anesthetics, barulah kita keluar. Alhamdulillah, Aarif cool aje. Tak sangka jugak sebab dia ni kadang-kadang penakut.

Sementara operation jalan, kita ajak Cik Abang turun ke kafe. Lapar... FYI, makanannya sedap. Pastu, kitaorang pun naik ler duduk kat tempat menunggu. Tak lama operation tu, adalah dalam satu jam aje.

Bila Dr. Zul keluar, dia pun cerita, semua berjalan lancar. Alhamdulillah... lega. Dia kata mucus dalam telinga sangat tebal, pekat dan banyak. "Banyak ke? Ada dalam 5ml?" kita tanya. "Takdelah sampai 5ml, setengah ml aje. Tapi kita kena faham saluran telinga tu very tiny, setengah ml pun dah boleh sumbat telinga." Dr. tu cakap sambil ketawa-ketawa.

Tapi semua dah disedut keluar dah. Dia tunjukkan gambar gegendang telinga before and after. Kat belakang gelembung-gelembung putih tu mucus. Hmmm... kesiannya rupa sampai macam tu sekali. Nampak sangat gegendang tak sihat. Kat gambar kedua tu boleh nampak tiub atau grommet yang ditanam di gegendang telinga.


Kitaorang pun pergi ke recovery room. Diaorang letak dia kat sini dulu, adalah dalam setengah jam, untuk pastikan dia betul-betul ok sebelum dilepaskan ke bilik.

Ini Aarif baru keluar dari Operation Theatre... kong habis!

Bersambung later...