Friday, February 19, 2010

Ke JPMC lagi...

Sejurus sebelum masuk OT... Sporting betul Pakar Bius tu, volunteer ambikkan gambar kitaorang...

Hari Jumaat lepas, 12hb Februari, kami ke JPMC lagi. Kali ni untuk pembedahan hidung Cik Abang pulak. Ehem... bukan bedah kasi mancung tau... he he he...

Dalam pada bawak budak-budak tu periksa telinga dengan Pakar ENT Dr. Zul, Cik Abang ada bukak cerita pasal hidungnya tu. Dah bertahun-tahun bermasalah dan sekarang ni semakin teruk. Payah nak bernafas, selsema yang tak baik-baik, kadang-kadang hilang deria bau dan sakit kepala.

Dr. terus aturkan dia buat CT Scan. Rupanya tulang bahagian dalam hidung tu patah dan terbengkok ke sebelah kanan. Jadinya lubang hidung sebelah kanan tu sememangnya dah hampir tertutup. Takde ruang langsung untuk udara lalu.

Gambaran mudah rupa kedudukan sinus dan bahagian dalam hidung...

Ditambah pulak dengan bengkak-bengkak akibat infection, sinus tak dapat drainage yang sepatutnya. Makin tersempal ler sinus sebelah kanan tu.

Dulu ada jugak ura-ura nak buat saing dengan Aarif atau Hannan. Nasib baik tak jadi... boleh tahan juga payah nak melayan dia recovery lepas pembedahan.

Pembedahan mula pukul 6.00ptg. Selalunya kalau standard procedure, sejam setengah dah boleh selesai. Jadi sejak pukul 7.15mlm kita dah tunggu tapi tak keluar-keluar pulak. Tak senang duduk jugak kita dibuatnya. Akhirnya pukul 8.15mlm barulah dia dibawak keluar dari OT. Alhamdulillah...

Sejurus selepas keluar dari OT...

Dr Zul jelaskan, sinus bahagian kanan dia tu terlalu teruk. Penuh dengan nanah dan polip, jadi dia perlukan masa yang lama untuk membersihkannya. Tulang hidungnya pulak terpaksa dipatahkan lagi kat beberapa tempat supaya boleh diluruskan semula.

Tak berapa lama lepas dihantar ke bilik, mata kanan dia mula membengkak. Makin lama makin besar. Bila dia dah mula sedar dalam pukul 10.00mlm, dia komplen sakit mata dan mintak panggilkan doktor. Mata tu pun dah mula lebam. Kata doktor, itu trauma selepas "kerja-kerja pembersihan" sinus dia tu.

Mata yang membengkak dan mula nampak nak lebam...

Dah ler kena tuam dengan ais. Bukan aje mata yang lebam tu kena tuam tapi kat dahi pun dituam dengan ais supaya kurang pendarahan lepas gauze dikeluarkan dari lubang hidung.

Kesian tengok dia, nak bernafas kena ikut mulut, nak minum payah, nak makan pun payah. Kalau takde painkiller dan ubat tidur, memang tak lelap ler...

Dua malam di hospital barulah dilepaskan balik. Dapat MC seminggu tapi hari ni dia dah ke pejabat dah. Dedicated betul Pakcik tuh!

Masih belum betul-betul sihat sebenarnya. Lebam kat mata tu masih belum hilang. Tidur masih tak boleh berbaring, kena tidur duduk. Setiap 3 jam kena flush hidung dengan air saline untuk bersihkan darah kering yang terkumpul kat dalam tu.

Gauze dah dikeluarkan dari hidung, bengkak mata dah turun. Beberapa jam sebelum balik...

Esok, kami akan ke JPMC sekali lagi untuk keluarkan tiub yang support tulang hidung. Insya-Allah, seminggu-dua ni, sihatlah dia.

Until later...

Tuesday, February 9, 2010

Sambal Tumis Telur...

Sambal Tumis Telur...

Pembuka selera selepas 2 minggu tak bersiaran. Sambal Tumis Telur resipi adik kita, Fiz. Memang dia punya regular dish sebab kegemaran suami dia. Hampir tiap-tiap kali pergi rumah dia, dia akan hidang sambal ni untuk sarapan pagi. Cecah dengan roti, sedap!

Masa kitaorang budak-budak dulu, Mak kita pun ada juga buat tapi lebih ke Sambal Tumis Scramble Eggs. Itu pun sama, cecah dengan roti masa sarapan.

Masa kita buat ni, kita padankan dengan lempeng. Huui... sedap dan licin habis!

Nak kena kasi resepi jugak ke? Alaa... buat aje sambal tumis asas pastu pecahkan aje telur... boleh? Ha ha ha... Oklah, ni dia.

Sambal Tumis Telur

8 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia (kalau mahu)
1/2 cwn lada kisar
2 kpg asam keping
2 sudu gula
4 biji telur
garam secukup rasa
1 biji bawang besar dihiris

Kisar atau hiris halus bawang-bawang dan halia. Tumiskan bersama lada kisar.

Masukkan gula, garam, asam keping dan hirisan bawang besar. Bila dah naik minyak dan dah puas hati dengan rasa sambal, kecilkan api.

Pecahkan telur ke dalam mangkuk lain. Tuangkan satu persatu ke dalam sambal. Tutup kuali dan biarkan seketika.

Bila bahagian bawah dah cukup kental, perlahan-lahan terbalikkan supaya masak rata telurnya.

Lepas tu bolehlah dihidang bersama roti atau lempeng. Makan dengan nasi panas pun ngam jugak.

Kalau kacau-kacau sangat, nanti telur hancur, jadi Sambal Tumis Telur versi Mak kita pulak. Kalau Fiz, dia akan lalukan senduk pada kuning telur supaya pecah sikit. Masa kita buat, telur kuningnya kita tak kacau, jadi cantik dan bulat.

Ikutlah citarasa tukang masak macamana.




**Tip Mak Mertua kita : Tumiskan lada kisar dulu, tunggu sampai dah naik minyak barulah masukkan bawang. Bila buat macam ni, lada takkan rasa mentah dan warnanya pun cantik.

Boleh gunakan tip ni untuk masak apa-apa saja masakan yang guna lada kisar seperti asam pedas, sambal tumis atau bila goreng mee sekalipun.

Until later...