Tuesday, September 28, 2010

Kehidupan Seharian...

Harini ialah hari terakhir Cik Abang berpuasa sunat Syawal tapi Hannan masih ada lagi dua hari berbaki untuk mengganti puasa Ramadhannya.

Jadi sebagai perangsang untuk Hannan dan meraikan Cik Abang, kita naklah masakkan yang lebih special dari biasa. Dah kita sendiri pun tak dapat nak join diaorang tahun ni.

Teringat masa Hari Raya kelmarin, kitaorang dijamu Nasi Daging oleh Ju dan Hasmin. Hmmm... menarik jugak kalau dapat buat kan?

Jadi kita pun Google la sana-sini dan dapatlah resipi yang hanya perlukan rempah-ratus yang ada di rumah. Bila dah siap, rasanya memanglah sedap tapi masalahnya sekarang, kita dah tertawan dengan nasi yang Ju masak tu haa...

Nak kena pergi berguru ni nampaknya. Kalau boleh, kena dapatkan rempah istimewa yang diadun sendiri oleh makcik dia tu, special delivery dari Kedah!

Apapun, inilah hasilnya...

Pinggan Cik Abang yang sempat kita snap gambarnya sementara dia makan kuih...

Dalam pada tu, hentah apa la agaknya yang membuatkan kita teringin sangat nak makan kuih Badak Berendam ek? Hish... makin menunggu hari ni, makin menjadi-jadi pulak sweet tooth kita. Cepatlah baby... sebelum Ibu pun jadi saiz badak sebab makan manis banyak sangat... hahaha....

Lagi sekali kita Google sana-sini dan bila tengok nak membuatnya takdelah susah sangat, kita on ajelah dan inilah hasilnya...

Bukan aje ini kali pertama kita buat kuih Badak Berendam, ini jugak kali pertama kita merasanya, jangan tak percaya... sedap jugak!

Maaf ye harini takde resipi. Bak kata orang Brunei, "Ngalih kalia...." Letih...

Until later...

Sunday, September 26, 2010

Ayam Ala Rendang...

Ayam ala Rendang...

Ala Rendang atau seperti rendang sebab ada rasa rendang tapi kita tak gunakan beberapa bahan utama rendang.

Tak gunakan santan, lengkuas, daun kunyit dan daun limau purut. Kenapa? Sebab masa kali pertama masak lauk ni, benda-benda tu takde kecuali daun limau purut. Cik Abang tak berapa suka bau dan rasanya, jadi walaupun pokoknya subur kat belakang rumah, kita memang tak letak pun.

Pada asalnya, kita nak menghabiskan rempah-ratus yang tinggal sikit-sikit tu haa... Jadi campak-campak ajelah apa yang ada. Bila dah siap, budak-budak ni suka ler pulak.

Bila diaoranga tanya apa nama lauk ni, kita kata, "Hentahlah... Ibu masak main campak-campak aje. Sedap ke?" Dahlah diaorang panggil lauk ni Ayam Campak. Hahahaha... tak senonoh betul!

Kalau nak cuba, inilah resipinya...

Ayam ala Rendang

1 kg ayam
3 sdbsr lada kisar
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai

3 sdbsr ketumbar
2 sdbsar jintan manis
1 sdbsr jintan putih
1 sdbsr lada hitam biji
1 sdbsr lada putih biji

2 sdbsr gula merah
4 sdbsr kerisik
1 kepal kecil asam jawa
sedikit air
rempah tumis : kayu manis, buah pelaga, cengkih, bunga lawang
garam secukup rasa

Kisar atau tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia.
Serai dihiris halus.
Kisar atau tumbuk kasar ketumbar, jintan manis, jintan putih, lada hitam dan lada putih.

Tumiskan lada kisar dan rencah bawang-halia.
Bila dah naik minyak, masukkan rempah, gula merah, kerisik, rempah tumis dan garam.
Bila dah naik baunya, masukkan ayam dan air asam jawa.
Reneh atas api sederhana hingga ayam benar-benar masak dan kuahnya pekat.
Kalau air dah kering tapi ayamnya masih mentah, tambahkan sedikit air dan renehkan lagi.
Sesuaikan rasa garam, gula dan asam. Siap untuk dihidang.

Nak masak lauk ni, rempah-rempahnya memang kena dikisar atau ditumbuk kasar-kasar. Kalau halus sangat atau guna serbuk, tak berapa menjadi. Nak gantikan ayam dengan daging pun boleh jugak.

Bolehlah kalau setakat nak masak untuk lauk hari-hari. Tapi kalau nak masak untuk jamuan Hari Raya, masaklah rendang guna resipinya yang asli yea...

Until later...

Thursday, September 23, 2010

Tumis Pucuk Timun dengan Labu Kuning...

Jemput makan...

Dah lama tak masukkan entry masak-masak kan? Kali ni kita masak pucuk timun pulak. Ini baru kali ke empat kita memasaknya. Dulu kita tak berapa pandai, salah teknik. Kali pertama tu, sayurnya tetap kasar dan keras walaupun lepas dimasak. Tak sedap langsung! Hehehe...

Kalau teringin nak makan, kita akan pergi ke kedai Kak Jamilah di Miri tu. Dia masak simple... tumis dengan bawang, lada dan belacan aje, tapi sedap dan lembut sungguh sayurnya.

Sebelum puasa aritu, kita terjumpa sayur ni dimasak dengan labu kuning kat kedai Makcik Fatima Bibi di Seria. Sedapnya...

Hallamak... tak boleh jadi ni. Takkan nak harap beli aje. Besok bila dah balik KL, nak carik kat kedai mana pulak dah? Yang ini kita mesti kena pandai.

Jadi kita beramah-mesralah dengan makcik tamu yang jual pucuk timun ni. Haaa... tanya dia macam mana nak menyiangnya, macam nak buat daunnya jadi lembut, cara nak masaknya... walaupun dalam kepala dah ada dah resipi.

Bila balik kita pun masaklah dan Alhamdulillah... menjadi. Meh kita cuba sama-sama!

Tumis Pucuk Timun dengan Labu Kuning

1/4 labu kuning saiz kecil
1 ikat pucuk timun
5 biji lada merah
5 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1/4" halia
1 jemput ikan bilis
sedikit lada hitam
garam secukup rasa
sedikit belacan (kalau mahu)

Mula-mula siang pucuk timun. Koyak-koyakkan daun yang besar jadi cebisan yang lebih kecil. Kemudian gosok-gosokkan daun di antara tapak tangan hingga ia jadi agak lembut. Siangkan batangnya seperti menyiang batang bayam. Asingkan keduanya. Ramas-ramaskan lagi daun semasa membasuhnya dan toskan.

Siang labu kuning dan potong jadi ketulan sederhana besar. Rebuskan dengan sedikit air hingga separuh masak. Angkat bersama air rebusannya dan ketepikan.

Tumbuk lada merah, bawang merah, bawang putih, halia, ikan bilis dan belacan (kalau mahu).

Tumiskan rencah hingga naik minyak. Masukkan batang pucuk timun dan sedikit air rebusan. Masak hingga ia lembut.

Kemudian masukkan pulak daunnya dan tambah lagi sedikit air rebusan supaya tumisan tak terlalu kering.

Bila semua daun dah masak, masukkan pulak labu kuning. Reneh hingga labu benar-benar lembut. Sesuaikan rasa garam dan hidang.

Kalau tengok dalam gambar, tumis kita berkuah banyak. Kita memang buat macam tu sebab ahli rumah ni suka makan lauk berkuah. Kalau nak tumisnya kering, tak usahlah tambah banyak sangat air rebusannya.

Segar dari tamu...

Sayur kampung dimasak cara kampung... memang sedap!

Until later...

Wednesday, September 22, 2010

9 Syawal 1431 / 18hb Sept 2010...

Depan pintu masuk...

Hari Ahad lepas kitaorang pergi beraya ke Bandar Seri Begawan. Mula-mula ke rumah kawan sepejabat Cik Abang di Sengkurong dan kemudian terus ke Malaysian High Commission, di Jln Kebangsaan, BSB.

Nak kata ada benda-benda istimewa sangat kat sana, memang tak adalah. Aturcara biasa-biasa, ada ucapan-ucapan sikit sebelum sessi berkenal-kenal dan makan-makan. Pergi pun saja-saja aje... last chance kan...

Tengah tunggu ucapan habis...

Kebetulan, majlis kali ini digabungkan sekali dengan majlis perpisahan TYT Dato Ku Jaafar Ku Shaari yang telah tamat perkhidmatannya.

Beratur ambik duit raya. Dapatlah sorang seringgit...

Rombongan KB & Seria sempat bergambar dengan TYT Dato...

Dah kenyang makan dalam kira-kira pukul 5.00 ptg, kitaorang pun bertolak ke rumah Pak Pin dan Aunty Jus di Perkampungan Rimba, Gadong. Tak dapat nak beraya lama, lepas Maghrib kitaorang pun bertolak balik ke Seria.

Sebelum balik, kita mengusha-usha Aunty Jus untuk datang ke rumah bila-bila dia beraya ke rumah kakaknya di KB. Ngam-ngam pulak dia kata memang nak ke sana hari esoknya. Alright, cantik!

Tapi tengahari Ahadnya tu, yang sampai cuma Pak Pin dengan dua orang anak dia, Alin dan Hadi. Bila tanya, diaorang kata Aunty Jus dengan yang lain-lain pergi ke KB dulu sebab dah janji nak makan tengahari.

Oklah tu, dah alang-alang lunchtime... kita hidangkanlah apa-apa lauk yang ada. Asam Pedas Ikan Sembilang, Tumis Pucuk Timun dengan Labu Kuning dan Sambal Sotong. Habis makan, Pak Pin pun beransur sebab dia nak ke Miri.

Lepas tu kitaorang pun lepak-lepak sampai ke petang, menunggu Aunty Jus... tapi tak jugak dia sampai-sampai. Hinggalah akhirnya dapat SMS dari Alin, yang beritau Aunty Jus tak jadi datang sebab merajuk Pak Pin pergi rumah kitaorang dulu dan tinggalkan dia.

Alamaaaak.... gitu pulak dah. Hmmm... takpelah Aunty, lain kali ajelah ya? Yang Pak Pin pun satu, next time... just follow the plan ler... taklah merajuk Aunty tu... hahahaha...

Until later...

Wednesday, September 15, 2010

6 Syawal 1431...

Tahun ni kita berwarna biru...

Ahamdulillah... walaupun tak dapat balik kampung, kemeriahan Hari Raya tetap terasa dengan sekelian kawan-kawan yang sama-sama tak balik kampung.

Di pagi raya pertama, kami semua beraya ke 5 buah rumah. Hari raya kedua, ke 4 buah rumah dan hari raya ke tiga ke 2 buah rumah. Semuanya masak sedap-sedap belaka, kenyang semua tetamu sampai ke malam.

Hari raya kedua ialah hari kitaorang merai tetamu. Kita dah siap-siap dah beli bahan-bahan untuk masak ayam masak kicap, rendang daging, kuah lodeh dan serunding kelapa.

Tapi Cik Abang tiba-tiba pulak nak tukar menu. Dia kata, "Kita buat soto ajelah! Sup tulang." Ini dalam kereta ni... masa perjalanan balik ke rumah selesai beraya di hari pertama ni. Sudah... mana nak cari tulang raya-raya ni? Kedai tutup ler...

Nasib baik lepas pusing-pusing, akhirnya jumpa tulang kat Milimewah. Bahan-bahan lain dapat beli kat salah-sorang Nyonya yang bukak kedai kat pasar tu. Hmmm... sabor ajelah kan?


Sebahagian tetamu lelaki...


Sebahagian tetamu perempuan...

Nak dijadikan cerita, sedang kita beraya... tiba-tiba aje kita diserang sakit belakang dan contractions. Mula-mula tu sikit-sikit, tapi makin lama makin kuat pulak sakitnya.

Ingat nak keep cool kat depan kengkawan tapi bila diaorang tengok muka kita dah bertukar-tukar warna jadi sekejap merah, sekejap pucat, tak senang duduk, tak senang berdiri... pecahlah tembelang... hahaha... Nasib baiklah dah di rumah yang terakhir.

Ada yang mengusik, mungkin dah nak kena ke hospital tapi gerak hati kata belum lagi masanya. Dalam pada tu, kita tetap berdoa-doa supaya baby bertahan sekurang-kurangnya lagi seminggu-dua. Tak sampai hati kalau baby lahir pada minggu ke-36 ni dengan badan yang kecik dan halus macam abangnya Adeem dulu.

Alhamdulillah... lepas berehat-rehat semalaman, kita dah ok semula. Siap boleh sambung beraya lagi esoknya. Hingga ke hari ini, kitaorang berdua masih lagi dapat bertahan, Insya-Allah hinggalah ke waktu yang lebih sesuai, doa-doakanlah...

Until later...

Thursday, September 9, 2010

1 Syawal 1431... Tak balik kampung & Selamat Hari Raya...



Telah pun diistiharkan sebentar tadi, negara Brunei Darussalam akan meraikan 1 Syawal 1431 pada hari esok bersamaan Jumaat 10hb Sept 2010 kerana sabit nampak anak bulannya.

Bermakna tahun ini, walaupun berjauhan, kita dan keluarga di Semenanjung akan beraya bersama-sama. Alhamdulillah...

Kepada semua rakan-rakan blogger dan pembaca blog ini, kita ingin memohon berbanyak ampun maaf sekiranya ada salah-silap kata di pihak kita.

Semoga kita semua telah mendapat rahmatNya di sepanjang Ramadhan yang lalu dan semoga kita terus mendapat rahmatNya di sepanjang tahun menuju ke Ramadhan seterusnya, Insya-Allah....

Nampaknya budak-budaklah yang paling suka sekali. Bukan selalu dapat laungkan "Esok Hari Raya! Esok Hari Raya!" kan? kan?

Sekejap lagi kita nak siapkan juadah untuk Majlis Takbir dari rumah ke rumah. Nasib baik tadi siang dah siap digulung Popia Jejari Ketam dan sudah jugak mengisi kuih raya ke dalam bekasnya. Macam tak percaya aje... dah nak beraya...

Kumpulan tak berapa besar sebab dah dibahagikan kepada 2...

Hidangan yang sudah tersedia...

Until later...

Sunday, September 5, 2010

Apam Gandum...

Putih gebu macam tahu...

Ini jenis Apam yang mak-mak dan nenek-nenek kita buat dulu untuk sarapan pagi atau minum petang. Apam ni memang sangat mudah nak membuatnya dan sangat senang nak menghidangnya.

Resipi kita jumpa kat blog Mat Gebu. Masuk ni dah dua kali dah kita buat... tapi kita anggap masih lagi dalam tahap eksperimen. Belum cukup puas hati dengan hasilnya, jadi simpan dulu.

Tapi kali ni menjadi dengan jayanya. Meh kita tengok resipi dan gambar-gambarnya sekali...

Apam Gandum

500g tpg gandum
3/4 cwn brown sugar
2 cwn air
11g yis segera + 1/2 cwn air - larutkan

1 cwn kelapa parut + 1 sdbsr gula + 1 sdt garam

Panaskan pengukus.
Gaulkan gula perang dan tepung hingga rata.
Tuang bancuhan yis dan gaulkan.
Tambah air sedikit demi sedikit hingga habis.
Gaulkan hingga bancuhan sebati rata dan tidak berbintil.
Lengserkan minyak pada loyang.
Tuangkan bancuhan ke dalam loyang.
Biarkan selama 35 minit atau sehingga naik dua kali ganda.
Kukus selama 30-40 minit.
Boleh tutup penutup pengukus dengan kain supaya air tidak menitik ke atas kuih.
Angkat dan sejukkan dahulu sebelum dipotong dan dihidang bersama kelapa parut tadi.

Lagi sekali, resipi ni boleh dapat 2 loyang 7"x7" dan kita cuma buat separuh sukatan sahaja. 1 loyang ni pun dah lebih dari mencukupi.

Tiga peringkat: sebelum dan selepas diperam dan dah siap dikukus...

Kalau ikut resipi asal, bancuhan dibiarkan selama 1 jam, tapi disebabkan kita guna loyang kecik, dah ler nak terlimpah-limpah keluar bancuhannya. Wooh.. panik kak oooiii! Kelam kelibut pergi pinjam pengukus lagi satu... hahahaha...

Disebabkan peram lama sangat, teksturnya pun kasar dan sedikit keras. Tapi rasanya tetap maintain sedap.

Kita jugak guna gula putih sebab brown sugar dah habis. Jadilah apam tu berwarna putih macam tahu. Kalau guna brown sugar, apamnya akan berwarna kecoklat-coklatan. Begitulah ceritanya...

Until later...

Friday, September 3, 2010

Kuih Kaswi Gandum...

Sedang menanti waktu berbuka...

Ramadhan tahun ni, kita pecah rekod sebab hampir hari-hari buat kuih. Bukannya sebab kita ni terlebih rajin ke hapa ke, tapi lebih kepada mengikut keadaan semasa.

Dulu-dulu... masuk aje waktu berbuka, kitaorang akan terus makan nasi atau makan makanan berat-berat sampai kenyang, barulah solat Maghrib.

Kemudian, Cik Abang kata, kita kena tukar stail sebab makan berat-berat ni leka. Hujung-hujung maghrib barulah sibuk nak bersolat. Dahlah tu, kenyangnya yang amat.... aduuuh... nak rukuk, nak sujud pun payah kan?

Perubahan dibuat dan kitaorang mula berbuka dengan minum-minum air, makan kurma atau makanan yang simple-simple macam jemput-jemput ke, pisang goreng ke, sandwich ke... kalau ada kuih pun, selalu yang dibeli aje.

Ramadhan kali ni pulak, Cik Abang berbuka di Surau Panaga. Selesai solat Maghrib barulah dia balik ke rumah dan makan nasi sama-sama. Berbuka di surau kan gaya pot-luck, itulah yang kita ni hari-hari kena mencari idea nak buat kuih apa.

Tapi takpelah, kita pun seronok jugak. Kalau tak macam ni, takdelah nak mencuba buat benda-benda baru, terutamanya kuih-muih tradisional Melayu.

Hari Rabu lepas, kita buat Kuih Kaswi. Ini ialah percubaan kali kedua. Percubaan pertama tahun lepas tapi tak berapa menjadi. Kuihnya agak keras dan terlalu manis.

Resipi yang kita guna ni dari blog Chef Hanieliza.

Kuih Kaswi Gandum

5 cwn air
1 cwn gula merah
1 cwn gula pasir

2 cwn tpg gandum
1/2 cwn tpg ubi
1 sdt air kapur

1 cwn kelapa + 1 sdbsr gula + sdt garam

Masakkan gula merah, gula pasir bersama air dan sejukkan dahulu.
Panaskan kukusan.
Sapukan sedikit minyak pada loyang atau lapikkan dengan plastik.
Bancuhkan tepung gandum, tepung ubi, air kapur dan air gula.
Tapiskan dan tuang ke dalam loyang. Kukus selama 30 minit.
Kalau mahu, bungkus penutup kukus dengan kain supaya air tidak menitik ke atas kuih.
Angkat dan biar benar-benar sejuk sebelum dipotong dan dihidang bersama kelapa parut tadi.

Gambar sebelum dan selepas dikukus...

Resipi ni boleh dapat 2 loyang 7"x7". Kita bancuh separuh sukatan aje. Satu loyang kat gambar tu cukup untuk buat berbuka di rumah dan di surau. Sekali lagi, kita happy sebab kuih menjadi! Ngam-ngam aje lembut dan manisnya.

Haaaaa.... yang ini pulak cawan porselin untuk acuan kuih lompang yang kita jumpa semalam. Ada terselit kat celah-celah barang di kedai Nyonya kat Seria tu. Hehehe... punyalah behabuk-habuk plastiknya. Dapatlah 20 biji dan Nyonya kata $13.00. Oklah Nyonya... janji dapat!

Ting, ting, ting, ting....

Until later...