Jemput makan...
Dah lama tak masukkan entry masak-masak kan? Kali ni kita masak pucuk timun pulak. Ini baru kali ke empat kita memasaknya. Dulu kita tak berapa pandai, salah teknik. Kali pertama tu, sayurnya tetap kasar dan keras walaupun lepas dimasak. Tak sedap langsung! Hehehe...
Kalau teringin nak makan, kita akan pergi ke kedai Kak Jamilah di Miri tu. Dia masak simple... tumis dengan bawang, lada dan belacan aje, tapi sedap dan lembut sungguh sayurnya.
Sebelum puasa aritu, kita terjumpa sayur ni dimasak dengan labu kuning kat kedai Makcik Fatima Bibi di Seria. Sedapnya...
Hallamak... tak boleh jadi ni. Takkan nak harap beli aje. Besok bila dah balik KL, nak carik kat kedai mana pulak dah? Yang ini kita mesti kena pandai.
Jadi kita beramah-mesralah dengan makcik tamu yang jual pucuk timun ni. Haaa... tanya dia macam mana nak menyiangnya, macam nak buat daunnya jadi lembut, cara nak masaknya... walaupun dalam kepala dah ada dah resipi.
Bila balik kita pun masaklah dan Alhamdulillah... menjadi. Meh kita cuba sama-sama!
Tumis Pucuk Timun dengan Labu Kuning
1/4 labu kuning saiz kecil
1 ikat pucuk timun
5 biji lada merah
5 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1/4" halia
1 jemput ikan bilis
sedikit lada hitam
garam secukup rasa
sedikit belacan (kalau mahu)
Mula-mula siang pucuk timun. Koyak-koyakkan daun yang besar jadi cebisan yang lebih kecil. Kemudian gosok-gosokkan daun di antara tapak tangan hingga ia jadi agak lembut. Siangkan batangnya seperti menyiang batang bayam. Asingkan keduanya. Ramas-ramaskan lagi daun semasa membasuhnya dan toskan.
Siang labu kuning dan potong jadi ketulan sederhana besar. Rebuskan dengan sedikit air hingga separuh masak. Angkat bersama air rebusannya dan ketepikan.
Tumbuk lada merah, bawang merah, bawang putih, halia, ikan bilis dan belacan (kalau mahu).
Tumiskan rencah hingga naik minyak. Masukkan batang pucuk timun dan sedikit air rebusan. Masak hingga ia lembut.
Kemudian masukkan pulak daunnya dan tambah lagi sedikit air rebusan supaya tumisan tak terlalu kering.
Bila semua daun dah masak, masukkan pulak labu kuning. Reneh hingga labu benar-benar lembut. Sesuaikan rasa garam dan hidang.
Kalau tengok dalam gambar, tumis kita berkuah banyak. Kita memang buat macam tu sebab ahli rumah ni suka makan lauk berkuah. Kalau nak tumisnya kering, tak usahlah tambah banyak sangat air rebusannya.
Segar dari tamu...
Sayur kampung dimasak cara kampung... memang sedap!
Until later...
tertelan ayaq lioq!
ReplyDelete