Hidangan pagi itu, Mee Rebus, Bubur Pulut Hitam dan Creme Caramel. Yang selebihnya buah tangan kengkawan. Banyak lagi buah tangan yang sampai lepas gambar ni diambik.
Nama aje Pagi-pagi Minum Kopi (terjemahan dari Coffee Morning) tapi takde pun hidangkan kopi. Teh O dengan Teh Susu aje yang ada.
Alhamdulillah, selesai jugak hasrat nak menjamu kengkawan semalam. Walaupun ada yang tak dapat datang tapi yang memeriahkan tu lebih ramai lagi.
Macam biasa diaorang mesti jugak bawak juadah serba sikit dan dengan itu, penuhlah meja...
Mula-mula semua pakat kontrol ayu sebab Zaida bawak sekali Mak & Ayah dia. Woooi... bersantun memasing. Ketawa pun comel-comel aje. Bila diaorang dah balik... ha kau! Volume terus up and up and up ha ha ha...
Dalam gambar tu Mak Zaida bersalaman semasa beransur nak balik.
Entah apasal diaorang lebih suka duduk kat tangga ni daripada kat sofa. Lebih dekat dengan meja agaknya....
Macam biasa, ada yang terpaksa balik cepat. Kita berkira-kira, yang nak datang lewat tak berapa ramai lagi. So kita pun bukaklah meja untuk sesiapa yang nak bungkus.
Terselit rasa cemas, takut tak cukup, tapi Alhamdulillah... yang membungkus dapat, yang datang lambat pun dapat, yang untuk orang kat rumah pun dapat.
Sebab itulah Mee Rebus paling sesuai dimasak bila nak menjamu orang, muai betul. Sama jugak dengan Laksa Johor. Tak reti nak masak sikit-sikit sebab last-last, mesti jadi banyak punya. Kalau tak menjamu, kita bungkus dan hantar ler sana-sini. Daripada bende tu terperuk aje dalam fridge kan.
Resepi ni kita tak belajar dari sesiapa. Purely by R&D ha ha ha... Research and Development jangan marah! Cari, cari, cuba, cuba sampai dapat yang serasi.
Tak seperti resipi baking yang memang kena ikut timbangannya dengan tepat, mana-mana resepi masakan sebenarnya adalah guideline sahaja. Sedap atau tidak tu ditangan dan dilidah orang yang memasaknya.
Kalau agak-agak rasa macam tak kena, ubah. Tambahkan atau kurangkan apa yang kita rasa perlu sampailah kita dan keluarga rasa paling sedap. Lepas tu? Masaklah selalu... Meh cuba pulak Mee Rebus!
Mee Rebus
Bahan A
1/2 kilo daging
1/2 kilo udang
1/2 kilo keledek (guna keledek isi warna oren, ia paling manis)
Sedikit garam dan 1" halia diketuk.
Rebus kesemuanya hingga empuk. Kemudian kisar hingga betul-betul hancur, ya termasuk halia tu sekali.
Bahan B
1 mangkuk dessert lada kisar
1 biji bwg besar
10 biji bwg kecil
5 ulas bwg putih
1 sdbsr udang kering
1/2" lengkuas
1 btg serai
Kisar bawang-bawang dan udang kering. Kalau nak kisar sama lengkuas dan serai pun boleh juga tapi kita lebih suka ketuk aje dua-dua tu. Sebabnya kalau mata blender tak tajam, berserat kuahnya nanti. Dah terkena...
Bahan C
2 sdbsr tinggi rempah kari
1 1/2 mangkuk dessert gula (kita guna gula merah, warna kuah lebih cantik dan rasa lebih mantap. Gula merah bukan brown sugar untuk buat kek tau!)
1 mangkuk dessert air asam jawa
2 kpg asam keping
Garam secukup rasa
Tumis Bahan B dan C hingga wangi dan naik minyak.
Masukkan Bahan A dan didih hingga sebati rasanya.
Guna api sederhana dan gaul selalu supaya tidak berkerak.
Kuah Mee Rebus rasanya memang manis-manis sikit. Kalau ragu-ragu, masukkan 1 mangkuk gula dulu. Pertimbangkan untuk tambah lagi atau tidak.
Sesuaikan rasa manis, masin dan masam.
Hidangkan bersama :
Mee Kuning & Tauge yang dicelur
Tahu goreng
Bawang Goreng
Telur Rebus
Limau Kasturi
Daun Sup
Lada hijau hiris
Lobak Asin
Nota : Untuk majlis semalam, kita guna daging, udang dan keledek yang hampir sekilo setiap satunya.
Kesian Cik Abang, dah nak menyuap tapi kita tahan sebab nak ambik gambar ni. Sorilah ya, comot-momot mangkuk tu, tak sempat lap!
Satu soalan. Kenapa panggil Morning Coffee tapi Afternoon Tea? Hmmm...
Until later...
No comments:
Post a Comment