Sunday, April 12, 2009

Donut Cakcibur...


Resipi dah disalin sejak bulan Jan 09 tapi semalam baru datang semangat untuk mencubanya.

Dah lama teringin nak buat donut tapi tak ada resipi yang menarik hati. Pemalas sebenarnya nak menggelek-gelek doh lepas tu kena menerap bentuknya lagi. Acuan terap donat dah bertahun beli, siap ada dua saiz lagi. Itulah kisahnya kalau seru belum sampai... he he...

Tapi bila terjumpa resipi ni hati terus tertarik... sebabnya tak payah nak gelek doh dan terap bentuk. Tak payah tunggu yis naik dulu, campurkan aje semua bahan dan uli sampai jadi doh. Lagi satu, tak guna telur!

Doh cuma perlu dibuat bentuk bola lepas tu biarkan naik sekejap. Bila dah cukup naik, buat lubang dan goreng. Lebih menarik, resipi ni guna kentang lecek.

Mulut mula bercerita dan bertanya. Rupanya Kak Salina dan Linda pun guna resipi donut guna kentang lecek macam ni. Hari Isnin lepas Zaida beritau Emma pun buat donat macam ni jugak.

Hmmm... dah ramai yang buat, memang mesti resipi ni bagus dan menjadi. Apatah lagi resipi yang diangkat dari blog mamafami. Fyi, nama Donat Cakcibur ni mamafami reka sempena nama kawan dia, Cak yang kasi dia resipi!

Jadi semalam, buat julung-julung kalinya, kita buat donat dan Alhamdulillah... menjadi. Lembut, lemak dan sedap sekali. Jom kita buat donat!

Donat Cakcibur

1 biji kentang saiz sederhana
1 cwn air suam

5g yis segera
1/3 cwn air suam
1/3 cwn minyak jagung
1/4 cwn susu pekat manis
1 sdbsr gula
1 sdkcl garam
500g tepung gandum

Rebus kentang hingga empuk. Masukkan ke dalam blender bersama air suam. Kisar hingga halus. Tapi since blender kita bau rempah, bawang, serai, halia apakebende semua... takkan nak guna. Kang jadi rasa pelik pulak donat tu. Kita lenyek guna hand whisk aje.

Kentang lenyek yang dikisar dicampurkan pulak minyak jagung, susu pekat, gula, garam, air suam dan akhir sekali yis dalam bekas besar.

Tambahkan tepung sedikit-sedikit dan gaulkan. Ulang proses hingga tepung habis. Uli hingga jadi doh. Doh yang lembut akan menghasilkan donat yang lembut jugak.

Ambil sedikit doh dan bentuk seperti bola. Letakkan diatas dulang yang sudah ditaburkan tepung. Saiz bola tak perlu besar sangat. Kita buat ala-ala besar bola ping pong aje. Doh akan mengembang 2 kali ganda dan bila digoreng, doh akan mengembang lagi. Lainlah kalau korang nak donat saiz ala-ala Dunkin' Donat. Bolehlah buat bola saiz besar sikit.



Bila bola doh dah kembang, buat lubang, guna jari aje... pastu terus masukkan dalam minyak sederhana panas. Goreng donat mesti maintain api sederhana. Kalau tak hangus Cik Kak! Balik-balikkan selalu.

Bila dah golden brown, angkat dan salutkan dengan gula kastor. Tapi kita guna gula icing. Senang nak layan budak-budak makan... tak bersepah-sepah gulanya sana-sini!

Batch yang ni dibawa ke kelas Bahasa Arab & Tazkirah malam semalam. Hari ni Cik Abang mintak buat lagi, dia tak puas makan. Malangnya tak sempat sebab dah petang sangat, so cakap kat dia pagi esok kita akan buatkan untuk breakfast.

Masalahnya, boleh ke kita bangun pagi-pagi untuk uli tepung? Soalan yang hanya akan terjawab esok!

Until later...

Nota :
Akhirnya donat menjadi juadah minum petang... Isnin 13/04/09 5.15ptg

No comments:

Post a Comment