Wednesday, December 14, 2011

Petua Melembutkan Daging...

Sebelum kita letakkan resipi Daging Masak Lada Hitam... kita nak kongsikan dulu petua untuk dapatkan daging yang lembut dan empuk.

Dengan cara ni, Insya-Allah... tak perlu guna pressure cooker, tak perlu nak merebus sampai berjam-jam atau terpaksa beli daging batang pinang yang sangat mahal tu. Daging boleh dihiris nipis dengan sangat cantik sekali. Insya-Allah... bila merebus tulang... dagingnya lembut dan longkah. Bila merebus tetel... boleh kunyah! Hahaha...

Petua Melembutkan Daging / Daging pada Tulang / Tetel ...

1 kg daging / tulang / tetel
1 sdteh bicarbonate of soda
2" halia
1 sdteh garam
Air secukupnya

Yeaa... inilah rahsianya... Bicarbonate of Soda! Cuba... jangan tak cuba...

Letakkan ketulan tulang atau daging dan tetel yang belum dipotong ke dalam periuk.
Tuangkan air hingga separas 1" di atasnya.
Tambahkan bicarbonate of soda, halia dan garam.
Gunakan api besar, tunggu hingga air mendidih.
Bila buih putih dah mula membuak, kecilkan ke api sederhana dan teruskan mereneh.
Sendukkan keluar buih putih yang sudah kental. Tunggu hingga daging 3/4 empuk.
Maksudnya mudah dipotong, boleh dikunyah, cuma masih sedikit liat.
Selalunya ambil masa 45 minit sahaja untuk berat 1 kg.
Jangan terlebih masak sebab dagingnya akan jadi lembik dan berderai bila dimasak lagi.
Angkat dan hiris daging atau tetel untuk masakan seterusnya.
Angkat dan rebus semula tulang untuk membuat sup tulang.
Atau tumiskan tulang bersama rempah untuk nasi briyani.

Cara ni tak sesuai kalau nak buat stok sebab rasa air rebusan agak payau sikit. Dan selalunya kita memang tak gunakan semula air rebusan tu... terutamanya kalau merebus tulang / ketulan daging untuk buat sup atau nasi briyani.

Jangan risau, buangkan saja... Rasa sedap daging akan tetap ada. Insya-Allah sup jadi lebih jernih, rasa lebih sedap dan paling penting... tak berladung lemak. Nasi briyani pulak tak jadi muak.

Kita lebih suka rebus ketulan daging / tetel terlebih dahulu. Senang nampak jalur uratnya, jadi lebih senang untuk menghiris.



Terima kasih pada Linda yang mengajarkan petua ni kat kita. Mudah dan sangat  menjimatkan - jimat gas, jimat masa dan tak perlu beli  pressure cooker. Selamat mencuba!

Until later...

1 comment: