Friday, October 29, 2010

Labu Masak Lemak...

Jemput makan...

Kelmarin kita masuk dapur. Yelah, kasi peluang kat Cik Abang pergi keluarkan peluh main bola. Lagipun dah lama sangat kita tinggalkan dapur, dah naik berkarat skill masak-memasak kita ni ha...

Tengok ajelah haritu, teringin sangat nak masak Nasi Dagang untuk Mak dan Abah. Sepanjang-panjang waktu kita mengukus nasi, hati berat berkata, ada benda yang kurang. Fikir dok fikir tapi tak dapat jugak nak rumuskan bahan apa yang kita lupa.

Bila dah siap, dah hidang, dah makan dalam separuh pinggan, Cik Abang kata "Eh! Ibu tak letak bawang-bawang dengan halianya eh?" Haaa... betul lah tu! Hadoooi... sabor ajelah.

Sejak akhir-akhir ni pulak, kita suka betul makan labu. Tak taulah kenapa, padahal dulu-dulu memang tak pandai langsung nak makan. Tapi tak apalah, dah nikmat Allah nak beri, kita terima ajelah dengan kesyukuran... Alhamdulillah.

Labu Masak Lemak

1/4 biji labu sederhana besar
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 jemput ikan bilis
1 sdt biji lada hitam
1/4" halia
1/4" kunyit
1/2 kotak santan pekat
1 helai daun kunyit
garam

Buang kulit labu dan potong saiz sederhana.
Rebuskan sehingga separuh masak.
Jangan gunakan air yang terlalu banyak, cukup hanya separas labu di dalam periuk.
Tumbuk atau kisar bawang merah, bawang putih, ikan bilis, lada hitam, halia dan kunyit.
Masukkan rencah ke dalam periuk bersama garam, santan dan daun kunyit yang dihiris halus.
Didihkan atas api perlahan hingga santan masak dan labu empuk.
Sesuaikan rasa garam. Sedia untuk dihidang.

Kalau nak gunakan daun selasih pun boleh dan kalau nak kuah pedas, tumbukkan sekali cili padi. Rasanya hujung minggu ni kita akan masak lagi lauk ni sebab labu kelmarin masih berbaki. Sedapnya... sedapnya!

Until later...

Monday, October 25, 2010

Tok Jah Naik Haji...

Alhamdulillah... akhirnya tercapai jugak hasrat Tok Jah, nenek Cik Abang untuk ke menunaikan Fardhu Haji selepas lebih kurang 8 tahun menunggu. Dia bertolak dari Kelana Jaya Jumaat 22hb lepas bersama makcik Cik Abang, Ngah Amah. Cik Abang sempat terbang pulang untuk menghantar diaorang berlepas.

Semasa baru selesai makan di gerai-gerai bersebelahan kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya. Yang bertelekung di sebelah kiri ialah Ngah Amah. Yang tersenyum lebar mengadap kamera itulah Tok Jah...

Mak Mertua bersalaman dan berpelukan, ucapkan selamat pergi pada Tok Jah...

Kita doakan Tok Jah dan Ngah Amah akan terus sihat di sana dan dapat melakukan ibadah Haji dengan sempurna. Semoga mendapat Haji yang mabrur, Insya-Allah.

Ini pulak ole-ole yang Cik Abang bawak balik ke Brunei. Suratkhabar hari Ahad dan majalah-majalah kegemaran memang satu kemestian. Memang beli banyak-banyak sekaligus. Ini pun ada lagi beberapa majalah yang tak ada.

Mari membaca... sambil makan coklat yeay!!

Yelah, kalau beli kat Miri harganya dah jadi mahal. Kalau beli kat Brunei, lagilah mahal. Katalah harga majalah Solusi kat Semenanjung RM 9.00, kat Brunei dah jadi BND 7.00, kadang-kadang diaorang hentam BND 9.00. Majalah Midi pulak RM 4.20, kat sini harganya BND 4.20. Berganda-ganda dah tu...

Coklat Bounty kegemaran kita Cik Abang beli kat Airport tapi sayangnya pisang salai favourite kita dia tak dapat jumpa masa balik Batu Pahat. Itulah, salah sendiri... mintak dah last-last minit kan? Mana sempat nak meround cari. Takpelah, lain kali Insya-Allah adalah rezeki untuk kita makan pisang salai. Kita bersyukur dengan apa yang ada.

Until later...

Monday, October 18, 2010

Kehidupan seharian...

Sempat bergambar sebelum bertolak balik...

Minggu lepas Mak & Abah kita ada di rumah. Diaorang sampai di Brunei pada hari Sabtu 9hb dan terbang pulang pada hari Sabtu 16hb. Insya-Allah, Mak Abah Mertua dan adik ipar akan ke sini bulan depan pulak. Saja aje ajak diaorang datang menengok cucu dan jalan-jalan Brunei sebelum kitaorang balik ke Semenanjung. Kira peluang akhir ler ni.

Hari Jumaat, kitaorang ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar. Mendaftar kelahiran dan buat permohonan Emergency Certificate untuk Haniis. Bila dah dapat Borang W (Sijil Daftar Kelahiran untuk anak yang lahir di luar Malaysia) dan Emergency Certificate tu, barulah boleh ke Miri untuk buat Passportnya pulak. Haaa... jauh berjalan si Haniis walaupun umurnya tak sampai sebulan.

Sekarang ni tugas memasak masih lagi dipegang oleh Cik Abang. Cuma kita beritau dia, tak perlulah dia masakkan lagi lauk orang berpantang untuk kita. Kita nak makan lauk yang biasa-biasa aje.

Bukannya dah muak tapi masalahnya... bila makan lauk orang berpantang ni, kita jadik berselera sangatlah! Makan sampai bertambah-tambah, macam sedap sangat rasanya. Hai, tembam pulak jadinya nanti. Yang herannya, bila makan lauk biasa-biasa, boleh pulak control portion. Hentah hapape aje kan?

Insya-Allah, Majlis Akikah Haniis akan dilangsungkan malam esok. Buat sekaligus dengan Husna Asiah, anak Noorlyn yang lahir 9hb kelmarin. Sekaligus jugak merai rakan-rakan yang akan menjalani ibadah Haji.

Cik Abang dan kengkawan akan rewang petang ni untuk mengupas, menghiris, mengisar semua bahan-bahan yang perlu. Tengahari esok diaorang akan memasak pulak. Majis bermula selepas Maghrib.

Bapa-bapa dan anak-anak lelaki akan berada di Surau Panaga. Ibu-ibu dan anak-anak perempuan akan berada di rumah Hj Norull & Kak Hawa. Terima kasih tak terhingga pada diaorang berdua yang sanggup jadi host untuk majlis ni.

Wajah Haniis semasa dia tak tidur...

Until later...

Thursday, October 7, 2010

Sudah seminggu...

Si comel Haniis...

Esok hari Jumaat, bermakna genaplah seminggu Haniis bersama-sama kita. Alhamdulillah, dia semakin membesar, sihat dan sudah menampakkan karekternya yang tersendiri. Sedikit kekuningan tapi itu adatlah baby baru lahir. Insya-Allah tak lama lagi hilanglah tu...

Sudah seminggu jugaklah tugas-tugas memasak diambik-alih oleh Cik Abang... hehehe... lama sikitlah ya untuk keluar resipi masak-memasak. Selagi dia sanggup nak memasak, kita ambik cuti MC la...

Cik Abang ni boleh tahan jugak skill memasak dia. Cuma itulah... dapat rasa bila kita dalam berpantang aje. Budak-budak siap terkejut Babah diaorang pandai masak. Lepas ni bolehlah suruh diaorang usha-usha Babahnya untuk tunjuk skill kat dapur lagi.

Kalau orang kata air tangan seorang Ibu dan Isteri tu pengikat hati anak-anak dan Suami, apa bezanya dengan air tangan seorang Bapa dan Suami kepada anak-anak dan Isterinya? Malah mungkin lebih terasa keistimewaannya.

Yang ini pulak ialah sambal ikan bilis orang berpantang resipi Mak Mertua kita. Ikan bilis dicelur dengan air mendidih dulu dan kemudian ditumbuk bersama bawang merah, sedikit halia, lada hitam dan garam penambah rasa. Nampak sempoi aje tapi sangat sedap dimakan bersama ulam-ulaman dan nasi panas yang baru ditanak.

Hati-hati... boleh bertambah-bertambah nasi bila dah pekena sambal ni...

Until later...

Monday, October 4, 2010

New Baby...


Memperkenalkan, ahli keluarga terbaru... Nur Haniis Binti Kamaruddin.

Telah selamat lahir pada jam 4.55pg, Jumaat 1hb Oktober 2010 di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, Brunei.

Alhamdulillah... kita dan Cik Abang sangat bersyukur semuanya berjalan dengan begitu lancar. Anak-anak semuanya gembira menyambut adik baru.

Kali pertama bersua...

Sementara Haniis sedang nyenyak tidur ni... ambik kesempatan mengupdate sekejap.

Sekarang kitaorang berdua dah berada di rumah dan masing-masing berbau minyak kelapa, dedaunan dan rempah-ratus. Ambik full treatment dengan Kak Rodiah ler ni.

Hari ini ialah hari pertama kita berurut dan bersauna. Ini pun menunggu pukul 3.00ptg sebelum dapat menanggalkan bengkung berempah ni ha.

Tekak pulak masih terasa pahit penangan sesudu besar maajun dan segelas besar air rebusan daun. Eeergk! Satu hari 3 kali tau...

Tahan, tahan, sabor, sabor... nak cantikkan? Eehh! Nak sembuh la.. hahahaha... Harap-harap berjayalah hendaknya.

Until later...