Bukan Ayam Masak Merah yang kita biasa rasa...
Hari ini Hari Raya Aidil Adha. Selalunya kat Parit Besar atau Minyak Beku, hari ini dimulakan dengan Solat Sunat Aidil Adha dan makan pagi dengan menu istimewa. Kemudian ahli keluarga lelaki akan ke masjid atau surau untuk gotong-royong menyembelih, melapah dan mengagih daging-daging korban. Orang perempuan pulak macam biasalah, sibuk kat dapur.
Sekarang ni tentu fridge dua-dua rumah penuh dengan sumbangan daging korban. Alhamdulillah... rezeki yang tahan berbulan-bulan. Tapi sekarang ni Abah kita dah tak boleh makan daging, jadi tak taulah. Entah-entah tahan bertahun...
Kali ni kita dan anak-anak duduk diam-diam aje kat rumah sebab Cik Abang balik Malaysia untuk selesaikan macam-macam hal yang perlu diselesaikan. Disebabkan kita ni sorang-sorang kat sini, maka tak bersemangatlah nak masak lauk Melayu.
Kita buat keputusan untuk masak Chicken Kadai sebab kebanyakan bahan dah ada dalam gerobok dan peti ais. Tak payah nak mencari-cari lagi. Walaupun asalnya lauk ni dimakan dengan Roti Nan atau Chappati, kita kata mungkin kena kalau dipadukan dengan Nasi Himpit. Memang betul pun, hampir habis 3 pek besar Nasi Himpit budak-budak ni makan.
Chicken Kadai ni masakan belah-belah Pakistan dan India. Dapat resipi masa hadiri Demo dan Jamuan Masakan Pakistan kat Seria dulu. Sempat jugak kita Google resipi dan kita dapati resipi ni ada pelbagai variasi. Ahh... kira macam resipi rendang jugaklah. Lain tempat, lain cara. Lain orang, lain rasa. Apa-apapun marilah cuba...
Ayam Kadai...
1 kg ayam
1/2 kg tomato
4 biji bawang besar
1 sdbsr pes bawang putih
1 sdbsr pes halia
1 sdbsr serbuk ketumbar
1 sdbsr serbuk jintan halus
1 sdbsr serbuk lada merah
1/2 sdteh serbuk lada hitam
1/2 sdteh serbuk lada putih
1/2 cwn daun ketumbar dihiris
1/4 cwn minyak masak
1/2 cwn air
3 sdbsr jus lemon
2 sdbsr ghee
garam secukup rasa
Tomato dipotong dadu. Masukkan kedalam kuali bersama sesudu ghee dan masak hingga tomato menjadi pes. Angkat dan ketepikan.
Campurkan sesudu ghee pada minyak dan panaskan. Bawang besar dipotong dadu dan tumis hingga hampir garing.
Masukkan pes bawang putih,pes halia, pes tomato, serbuk ketumbar, serbuk jintan halus, serbuk lada merah, serbuk lada hitam, serbuk lada putih dan garam. Tumis hingga naik minyak.
Masukkan ayam yang sudah dipotong ikut cara yang disukai bersama air. Gaul rata dan reneh hingga ayam separuh masak.
Masukkan jus lemon dan daun ketumbar. Reneh lagi sehingga ayam masak dan kuah pekat.
Sesuaikan rasa garam dan siap untuk dihidang.
Kita kena mengaku resipi ni kita dah tukar sikit dari resipi yang kita dapat. Sebab tak ada stok, kita gantikan chilli flakes dengan serbuk lada hitam dan lada putih. Cili hijau langsung kita tak guna sebab lupa... hehehe... Jintan halus biji kita gantikan dengan serbuknya. Resipi asal guna daging ayam tanpa tulang, tapi kita hantam saja guna ayam sekor dengan tulang-tulangnya sekali.
Semasa diajar, tomato dikeringkan tanpa minyak tapi disebabkan bau yang tak berapa sedap masa membuatnya, kita campurkan sesudu ghee. Hmmm... baru sedap sikit bau dapur...
Kalau tengok gambar, lauk kita warnanya merah tapi masa demo, warna lauk lebih pada warna kuning-coklat. Hmmm... tukang masak tu tabur lebih serbuk ketumbar kot? Takpelah... dah kata, lain orang, lain cara... lainlah rupa kan? kan?
Cuma orang Melayu aje yang terfikir untuk makan Ayam Kadai dengan Nasi Himpit. Hantam sajalah... janji sedap!
Until later...
jangan chicken beli dari kedai dah ...
ReplyDeletechicken mmglah kena beli kat kedai Mala... aku tak bela ayam... hahaha
ReplyDelete