Showing posts with label Lauk Ayam. Show all posts
Showing posts with label Lauk Ayam. Show all posts

Tuesday, May 22, 2012

Nasi Ayam Panggang...

Nasi Ayam memang menu yang selalu kita masak. Dalam seminggu mesti ada sekali. Untuk orang yang memasak, menu ni sedap dan cepat untuk disediakan. Untuk yang makan, sedap dan cepat jugak. Cepat habis... hahaha...

Cara memasak nasi ayam dan ayamnya tu bermacam-macamlah. Selalunya ayamnya digorenglah. Dikukus pun boleh. Tapi sekarang... kita lebih suka dipanggangkan aje ayamnya. Ini resepi paling asas... ada banyak peluang untuk menggodeh dengan resepi ni. Meh gi dapur!

Nasi Ayam Panggang...

1 ekor ayam
2 biji bwg besar
4 ulas bwg putih
1 btg serai
2" halia
2" lengkuas
5 biji cili padi
1/2 sdbsr serbuk lada hitam
1/2 sdbsr serbuk lada putih
garam secukupnya

Rempah tabur untuk Ayam Panggang :
1 sdbsr garam + 1/2 sdbsr serbuk lada hitam + 1/2 sdbsr serbuk lada putih + 1/2 sdbsr serbuk bawang putih +  1 sdteh serbuk halia

Bawang besar dipotong empat. Bawang putih, serai, halia, lengkuas dan cili padi diketuk.
Masukkan semuanya ke dalam periuk dan isikan air secukupnya.
Masukkan serbuk lada hitam, lada putih, garam dan didihkan air.
Kecilkan api dan masukkan ayam. Renehkan selama 15 minit.
Keluarkan ayam dan taburkan rempah pada ayam dengan rata.
Masukkan ke dalam oven bersuhu 180C dan panggang hingga ayam garing.

Gunakan air rebusan untuk memasak nasi.
Asingkan sedikit air rebusan dan tambahkan kicap.
Selebihnya untuk sup.

Sambal Nasi Ayam...

10 biji lada merah
2 ulas bwg putih
1" halia
1/4 cwn cuka
garam dan gula secukup rasa

Kisarkan semua dan sesuaikan rasa masin dan manis.
Siap untuk dihidang bersama ulaman yang disukai.

Peluang menggodeh resepi :
1. Campurkan 1/2 sdbsr serbuk kunyit pada rempah tabur dan gorengkan ayamnya.
2. Sangai 1/2 sdbsr ketumbar, 1 sdteh jintan kasar, 1/2 sdteh jintan halus. Kisar dan campurkan pada rempah. Taburkan pada ayam. Panggang ayam dalam oven. Tambah 1/2 sdsbsr serbuk kunyit kalau mahu menggoreng.
3. Kurangkan sukatan garam. Campurkan sedikit kicap pekat, sos tiram dan madu pada rempah. Sapukan pada ayam. Goreng atau panggang ayam dalam oven.
4. Sapukan terus pes tomyam pada ayam dan panggang dalam oven.

Semua cara kat atas ni kita dah cuba dan Alhamdulillah semuanya sedap belaka. Insya Allah... kita akan buat semula semua resepi alternatif ni satu persatu dan postkan entrynya eh...

Selalunya memang kita akan panggang 2 ekor ayam yang anggaran beratnya 1kg setiap satu. Rakyat ramai kan... seekor memang tak cukup. Dapat rasa kelainan pada ayam dengan tambahan serbuk bawang putih dan serbuk halia.

Biasanya kita guna beras biasa aje... tapi kalau nak menjamu tetamu, kita guna Beras Basmati. Senangkan buat macam ni? Kita jugak pernah postkan resipi Nasi Ayam Kukus... kalau nak cuba.

Until later...

Sunday, November 6, 2011

Ayam Kadai...

Bukan Ayam Masak Merah yang kita biasa rasa...

Hari ini Hari Raya Aidil Adha. Selalunya kat Parit Besar atau Minyak Beku, hari ini dimulakan dengan Solat Sunat Aidil Adha dan makan pagi dengan menu istimewa. Kemudian ahli keluarga lelaki akan ke masjid atau surau untuk gotong-royong menyembelih, melapah dan mengagih daging-daging korban. Orang perempuan pulak macam biasalah, sibuk kat dapur.

Sekarang ni tentu fridge dua-dua rumah penuh dengan sumbangan daging korban. Alhamdulillah... rezeki yang tahan berbulan-bulan. Tapi sekarang ni Abah kita dah tak boleh makan daging, jadi tak taulah. Entah-entah tahan bertahun...

Kali ni kita dan anak-anak duduk diam-diam aje kat rumah sebab Cik Abang balik Malaysia untuk selesaikan macam-macam hal yang perlu diselesaikan. Disebabkan kita ni sorang-sorang kat sini, maka tak bersemangatlah nak masak lauk Melayu.

Kita buat keputusan untuk masak Chicken Kadai sebab kebanyakan bahan dah ada dalam gerobok dan peti ais. Tak payah nak mencari-cari lagi. Walaupun asalnya lauk ni dimakan dengan Roti Nan atau Chappati, kita kata mungkin kena kalau dipadukan dengan Nasi Himpit. Memang betul pun, hampir habis 3 pek besar Nasi Himpit budak-budak ni makan.

Chicken Kadai ni masakan belah-belah Pakistan dan India. Dapat resipi masa hadiri Demo dan Jamuan Masakan Pakistan kat Seria dulu. Sempat jugak kita Google resipi dan kita dapati resipi ni ada pelbagai variasi. Ahh... kira macam resipi rendang jugaklah. Lain tempat, lain cara. Lain orang, lain rasa. Apa-apapun marilah cuba...

Ayam Kadai...
1 kg ayam
1/2 kg tomato
4 biji bawang besar
1 sdbsr pes bawang putih
1 sdbsr pes halia
1 sdbsr serbuk ketumbar
1 sdbsr serbuk jintan halus
1 sdbsr serbuk lada merah
1/2 sdteh serbuk lada hitam
1/2 sdteh serbuk lada putih
1/2 cwn daun ketumbar dihiris
1/4 cwn minyak masak
1/2 cwn air
3 sdbsr jus lemon
2 sdbsr ghee
garam secukup rasa

Tomato dipotong dadu. Masukkan kedalam kuali bersama sesudu ghee dan masak hingga tomato menjadi pes. Angkat dan ketepikan.
Campurkan sesudu ghee pada minyak dan panaskan. Bawang besar dipotong dadu dan tumis hingga hampir garing.
Masukkan pes bawang putih,pes halia, pes tomato, serbuk ketumbar, serbuk jintan halus, serbuk lada merah, serbuk lada hitam, serbuk lada putih dan garam. Tumis hingga naik minyak.
Masukkan ayam yang sudah dipotong ikut cara yang disukai bersama air. Gaul rata dan reneh hingga ayam separuh masak.
Masukkan jus lemon dan daun ketumbar. Reneh lagi sehingga ayam masak dan kuah pekat.
Sesuaikan rasa garam dan siap untuk dihidang.

Kita kena mengaku resipi ni kita dah tukar sikit dari resipi yang kita dapat. Sebab tak ada stok, kita gantikan chilli flakes dengan serbuk lada hitam dan lada putih. Cili hijau langsung kita tak guna sebab lupa... hehehe... Jintan halus biji kita gantikan dengan serbuknya. Resipi asal guna daging ayam tanpa tulang, tapi kita hantam saja guna ayam sekor dengan tulang-tulangnya sekali.

Semasa diajar, tomato dikeringkan tanpa minyak tapi disebabkan bau yang tak berapa sedap masa membuatnya, kita campurkan sesudu ghee. Hmmm... baru sedap sikit bau dapur...

Kalau tengok gambar, lauk kita warnanya merah tapi masa demo, warna lauk lebih pada warna kuning-coklat. Hmmm... tukang masak tu tabur lebih serbuk ketumbar kot? Takpelah... dah kata, lain orang, lain cara... lainlah rupa kan? kan?

Cuma orang Melayu aje yang terfikir untuk makan Ayam Kadai dengan Nasi Himpit. Hantam sajalah... janji sedap!

Until later...