Showing posts with label Kuih Melayu. Show all posts
Showing posts with label Kuih Melayu. Show all posts

Monday, March 18, 2013

Inti Kacang Merah...

Inti Kacang Merah... warna yang terhasil ialah warna asli iaitu coklat dan bukan hitam macam inti komersial...
Dah lama kita tak cerita pasal masak-masak... kan? kan? Haa... inilah hasil keras tangan kita baru-baru ni. Ini semua gara-gara tak puas makan Pau Inti Kacang Merah kat rumah kawan kelmarin...

Terjumpa pulak kacang merah masa shopping kat Safari Supermarket. Apa lagi... eksperimen time laa... Resepi ni kita olah dari blog Intai Dapur. Alhamdulillah... menjadi dengan jaya dan sedapnya... Meh gi dapur!

Inti Kacang Merah...

250g kacang merah
3/4 cwn gula
1/4 cwn gula merah
1/4 cwn minyak
1/2 sdbsr tepung jagung
sepotong daun pandan
secubit garam
Rendam kacang merah semalaman.
Rebus dengan air yang cukup hingga empuk.
Sejukkan sebentar dan kisar dengan air rebusan hingga halus.
Tuangkan ke dalam non-stick pan.
Tambahkan gula, gula merah, minyak, garam dan daun pandan.
Gaul rata. Gunakan api sederhana dan mulakan memasak.
Apabila kacang mula mendidih dan memekat, tuangkan campuran tepung jagung.
Teruskan memasak hingga kacang betul-betul kering.
Keluarkan daun pandan. Sejukkan sebentar dan inti sudah boleh digunakan.

Memang sedap kalau dibuat Kuih Pau atau Roti Bun. Kalau nak yang lain dari yang lain... boleh cuba buat Karipap Inti Kacang Merah macam kat blog kawan kita di Brunei, Bicara Kak Noor...
Ada jugak baiknya pau kita ni sedikit pejal. Ia tak penyek bila diletakkan dalam bekas makanan...
Masih belum memenuhi piawaian Pau Lembut lagi Gebu dan Gebus! Setakat nak buat makan sendiri dan bekal budak-budak ke sekolah... Alhamdulillah bolehlah...

Until later...

p/s Buat pengetahuan, ini ialah kali kedua kita buat Pau Inti Kacang Merah. Pagi tadi masa kita tengah meletak pau ke dalam bekas makanan, Si Amiin tanya, "Ibu... ini inti yang macam haritu eh? Emmm... Amiin nak Pau Inti Kaya..." 

Aduhai anakku sayang... benda takde jangan di tanya. Makan aje apa yang ada depan mata... Sementara Ibu cari semangat nak membuat kaya pulak. Lagipun Inti Kacang Merah ada banyak lagi tu haa... 

Thursday, September 20, 2012

Kuih Getas...

Antara kuih kegemaran kita ni. Tak pernah terfikir nak buat pun. Senang dapatlah katakan...

Bila terjumpa resepinya dalam buku Himpunan Masakan Jawa tulisan Suwarsi M. Arukin... tergelak sekejap. Laa... senang aje nak membuatnya rupanya... Meh cuba!

Kuih Getas...

250g tepung pulut
150g kelapa parut
125ml air
secubit garam
minyak untuk menggoreng

Gaulkan kesemua bahan hingga menjadi doh yang sederhana lembut.
Doh dibentuk leper membulat atau membujur.
Gorengkan kuih dengan api sederhana panas hingga kekuningan.
Angkat dan ketepikan.

200g gula
300ml air

Masak air dan gula dalam kuali hingga mendidih, berbuih dan pekat-likat.
Masukkan kuih dan kaup balikkan hingga kuih tersalut air gula dengan rata.
Kemudian tutupkan api dan teruskan mengaup kuih hingga gula kering.
Siap untuk dihidang.
Macam biasa... resepi kuih ni pun banyak variasinya. Ada yang campurkan nasi dalam adunan doh. Ada jugak yang tambahkan sedikit tepung gandum. Ada yang campurkan sedikit tepung gandum dalam larutan air gula. Kalau ada yang lemah lutut tengok sukatan dalam timbang... boleh tengok SINI untuk resepi dalam sukatan cawan. Lepas dua-tiga kali buat... Insya Allah dah boleh main agak-agak aje dah...

Until later... 

p/s Nama lain bagi kuih ni ialah Kuih Kemplang...

Wednesday, June 6, 2012

Bingka Ubi...

Hmmm... sungguh kuning keemasan disimbahi cahaya mentari... hahaha... Yeay! Bingka Ubi dalam dapur... sangat sedap, sangat lembut, sangat... sangat gembira... hahaha...

Apahal la pulak ek? Kelmarin update, semalam update, harini update lagi. Nak cakap macamana... kalau dah ada peluang untuk update... buat ajelah kan... Kalau tak, mau tunggu seminggu sekali baru timbul.

Sebelum ni kita pernah letakkan resipi Bingka Jagung dengan Kuih Bakar. Kali ni kita nak letakkan resepi yang memulakan kegilaan kita membuat bingka...

Resepi ni kita jumpa dalam buku resepi 'Malaysian Cakes & Desserts' terbitan Periplus Mini Cookbooks hasil tulisan Rohani Jelani. Buku ni kita beli dah lamaaa sangat... tahun 2005. Masa beli tu, lebih pada nak buat berangan aje dari nak betul-betul buat kuih... hahaha... Lagipun nama-nama kuih orang Melayu bila di 'English' kan... comel sangat. Macam kuih ni... diberi nama Baked Tapioca Cake. Nantilah yea... kita buat entry khas nama-nama kuih Melayu dalam Bahasa Inggeris.

Meh cuba resepi ni dulu...

Bingka Ubi...

1kg ubi kayu
1 cwn gula
450ml santan
secubit garam

Kupas ubi, basuh dan parutkannya. Sebolehnya jangan parutkan empulurnya.
Dapatkan lebih kurang 800g ubi parut. Perahkan ubi menggunakan kain.
Tadahkan air perahan ke dalam mangkuk dan biarkan selama 15 minit.
Buangkan airnya dan ambil sagu yang mendak di bahagian bawah mangkuk.
Gaul rata hampas ubi, sagu ubi, gula, garam dan santan.
Masukkan ke dalam loyang yang telah dilengser dengan minyak.
Bakar dalam oven 200C selama 40 minit.
Gunakan api atas pada 10 minit terakhir untuk kesan bakar yang cantik.
Sejukkan dan siap untuk dihidang.

Hmm... senang rupanya buat kuih-kuih gaya bingka ni rupanya ek? Yang leceh sikit tu cuma nak memarut dan memerah ubi. Ada jugak yang blenderkan aje ubinya macam kat sini. Ada jugak yang tak perahkan ubi tu macam kat sini. Apapun, kita dah selesa dengan resepi ni dan Insya-Allah akan dibuat lagi dan lagi...

Until later... 

Monday, May 14, 2012

Kuih Bakar...

Macam main cak-cak aje kuih ni kan? Malu-malu gitu... hahaha... Resepi asalnya dari kuihbakar.com  Kita punya dah diolah semula...

Kuih Bakar...

2 cwn tepung
1 cwn gula
1 cwn air
2 1/4 cwn santan
2 sdbsr minyak jagung
1/2 sdteh garam
1 1/2 sdbsr pandan emulco
2 biji telur
1/2 sdbsr esen vanilla
bijan secukupnya

Panaskan oven pada 180C. Lengser loyang dengan minyak.
Pecahkan telur dan pukul sebati dengan esen vanilla.
Kemudian masukkan air, santan, minyak jagung, garam dan pandan emulco. Pukul sebati.
Gaulkan tepung dan gula. Tuangkan bancuhan tadi dan pukul sebati.
Tapiskan jika mahu dan tuangkan kedalam loyang.
Taburkan bijan ke atasnya. Bakar dalam oven selama 1 jam.
Gunakan api atas untuk 10 minit terakhir untuk kesan bakar yang cantik.
Sejukkan sebelum dihidang.

Sebenarnya kalau nak, boh aje masuk semua bahan dalam mangkuk, pastu putar aje guna mixer. Habis cerita hahaha... Cuma kita ni aje yang cerewet sikit bab-bab telur... Telur tu kita mesti nak pukul betul-betul dengan esen vanilla dulu. Kita dapati kalau buat macam tu, bau telur Insya Allah akan berkurangan dari biasa.

Dalam resipi asal, 2 sdbsr minyak dimasukkan dalam loyang kemudian dipanaskan dalam oven dulu. Kemudian barulah dituangkan bancuhan dan dimasak seperti biasa. Menarik kan cara macam tu? Selamat Mencuba yea...
Baru keluar oven. Hmmm... bau sedap, rasa pun sedap. Nak buat lagi dan lagi...

Until later... 

Monday, April 30, 2012

April dan Bingka Jagung...

Sejak akhir-akhir ni... asyik kerja buat bingka aje. Bingka Ubi dan Bingka Jagung. Lepas tu cuba pulak buat Bingka Susu dan Talam Ubi... fail tahap F++... hahaha... Resepi tak mengena, sabor ajelah...

Tapi biasalah tu, bila cuba-mencuba ni... Ada yang jadi, ada yang tidak. Kali pertama buat bingka ni, barang tak berapa cukup. Jagung adalah dalam tiga suku tin, tepung kastard cuma dapat suku cawan aje. Maka dengan sesuka hatinya kita campurkan tepung jagung untuk mencukupkan sukatan. Sungguh gitu, semua kata sedap. Jadi bila buat semula dengan sukatan bahan yang cukup... mmmmm... lagiiiii sedap!

Resepi dari Chef Hanieliza. 

Bingka Jagung...

1 cwn susu cair / susu UHT
1 1/2 cwn air
2 biji telur
1/2 sdbsr esen vanilla
1 cwn tepung gandum
1/2 cwn tepung kastard
1 tin besar jagung krim
3/4 cwn gula
3 sdbsr mentega cair
secubit garam

Panaskan oven kepada 180C dan sapukan minyak pada loyang.
Cara asal ialah hanya masukkan semua bahan ke dalam mangkuk dan kacau rata.
Tapi kita lebih suka buat macam ni...
Campurkan susu, air, telur, vanilla, garam dan kacau rata.
Kemudian masukkan tepung gandum, tepung kastard, jagung krim, gula dan mentega cair.
Gaul rata dan tuangkan ke dalam loyang. Bakar dalam oven selama 1 jam.
Guna api bahagian atas pada 10 minit terakhir untuk dapatkan kesan bakar yang cantik.
Sejukkan sebelum dipotong dan dihidang.

Esen vanilla dan garam tu kita yang tambah sendiri. Rasa tak lengkap bila letak telur tapi tak letak esen vanilla. Garam pulak pemangkin rasa. Ini gambar bingka sebaik saja keluar dari oven.. kembang dan tinggi. Bila dah sejuk... kuihnya turun. Jangan risau... rasa kuihnya tetap mantap... Insya-Allah...
Nak buat lagi dan lagi...

Until later...

Tuesday, April 17, 2012

April dan Apam Balik...

Apasal tajuk asyik-asyik letak April kat depan? Alaaa saja-saja... Dah alang-alang kata bulan April ni istimewa, nak jugak letak nama dia kat tiap-tiap tajuk entry... hahaha... Untuk bulan ni aje... bulan depan dah tak buat dah...
Ini dia entry masak-masak setelah sekian lama... Apam Balik.

Kali pertama buat sendiri Apam Balik ialah masa dapat resipi dari kawan kita Mala. Taklah serius sangat nak buat pun sebab masa duduk kat Brunei kan selalu dapat balik ke Batu Pahat. Dapatlah terjah Apam Balik makcik-makcik kat depan The Store Batu Pahat yang memang the best tu...

Tapi bila dah duduk sini... terpaksalah gigihkan diri untuk membuatnya semula. Disebabkan kita nak jugak dapatkan apam yang macam makcik-makcik tu punya... maka kita pun bereksperimen lagi. Akhirnya dengan gabungan resipi Mala  dan Nita Sudipkayu, inilah resipi yang terhasil...

Apam Balik...

2 1/2 cwn tepung
1/2 cwn gula
1/2 sdbsr baking powder
1/2 sdbsr bicabonate of soda
2 cwn susu
1 biji telur
1/2 sdbsr esen vanilla
1 sdbsr minyak jagung / minyak masak

Kacang goreng yang dikisar
Gula dan jagung berkrim secukupnya

Gaulkan tepung, gula, baking powder dan bicarbonate of soda.
Pecahkan telur kedalam mangkuk lain.
Masukkan susu, esen vanilla dan minyak.
Pukul dengan garpu sehingga kesemuanya sebati.
Tuangkan ke dalam tepung dan gaul rata.
**Peram selama 45min - 1 jam untuk kegebuan maksima.
Panaskan kuali non-stick. Gunakan api kecil.
Tuangkan secawan adunan ke dalam kuali.
Tunggu sehingga adunan naik dan berlubang .
Taburkan gula, kacang goreng dan jagung berkrim.
Dengan hati-hati lipatkan apam dan angkat.
Gunakan tisu dapur untuk membersihkan kuali.
Ulang hingga adunan habis. Siap untuk dihidang.

Yang penting... adunan mestilah diperam dulu. Barulah Apam Balik naik dengan cantik bila dimasak. Bila dah siap, lembut dan gebunya tetap bertahan walaupun dah sejuk... Insya-Allah...

Until later...

p/s Kalau kuali terlebih panas, terkeraklah sikit kulit apam tu. Bila kualinya panas ngam-ngam, cantik dan muluslah jadinya. Cuma sabar tak sabar ajelah sebab kena menunggu lama...

Tuesday, November 1, 2011

Ubi Kayu Goreng Ketumbar...


Bila dah duduk jauh-jauh gini, macam sedap aje bila nampak ubi kayu kat supermarket walaupun harganya mengurut dada. Urut dada, pejam mata... hahahaha... Apapun, ubi memang sedap bila dah goreng macam ni. Sangat sesuai untuk sarapan atau makan petang. Meh gi dapur!

Ubi Kayu Goreng Ketumbar...
1/2 kg ubi kayu
2 sdbsr ketumbar
1 sdbsar serbuk kunyit
garam, serbuk lada hitam, serbuk lada putih

Kupas ubi kayu dan potong kepada bentuk baji (wedges).
Sangai ketumbar hingga garing dan naik baunya. Tumbuk kasar.
Gaulkan ketumbar itu pada ubi bersama sedikit garam, serbuk kunyit, serbuk lada hitam dan serbuk lada putih.
Panaskan minyak dan kemudian goreng atas api sederhana besar hingga ubi empuk dan sedikit garing.
Angkat, toskan minyak dan sedia untuk dihidang.

Kalau orang Johor, takde cecah lain la... mesti Sambal Kicap punya. Ini caranya...

Sambal Kicap...
1 genggam lada cili
1 ulas bawang putih
1/2 cwn kicap manis + kicap masin
2 sdbsr gula
2 sdbsr cuka / jus limau kasturi

Kisarkan kesemua bahan. Sesuaikan rasa manis, masin dan pedas.
Kalau perlu, tambahkan lagi sedikit gula, garam dan cuka / jus limau kasturi.
Ikut rasa masing-masing.

Sambal Kicap ni lebih sedap kalau disimpan dulu sebelum dimakan. Kira macam kena peram sikit laa... Sebab tu kat dalam fridge memang selalu ada stok sebalang... hahaha... Yelah, kang bila nak mencecah tempe goreng, pisang goreng, keledek goreng, keladi goreng dan memacam goreng kan dah senang...

Tapi nak makan terus pun tak hal punya. Yelah, takkan ubi dah digoreng tapi kena tunggu esok baru boleh makan kan? kan?

Until later...

Eh! Resipi Sambal Kicap dah pernah keluar dulu kat resipi Rojak 4T. Lebih kurang aje kalau nak tengok...

Monday, September 26, 2011

Roti Jala...

Tak sangka, kemas juga rupa jaringnya bila dah gulung-gulung macam ni...
Dah lama benar tak buat Roti Jala. Membuak-buak rasa teringin nak makan... tapi acuan mengirai yang kuning tu masih lagi tersimpan dalam kotak kat kampung.

Gambar acuan klasik ambik kat Little Parlour. Gambar botol mayo muncung 3 ambik kat My Kuali...

Jadi, apa akal kita kali ni? Mengambil inspirasi dari botol mayonis muncung 3 yang tengah famous sangat kat M'sia sekarang ni, kita pun tebuk lubang kat penutup botol air mineral saiz kecik. Dua-tiga kali cuba-mencuba, akhirnya dapat jugak kita mengirai roti... hehehehe...

Hendak seribu akal... tak hendak seribu dalih...
Resipi kita senang. Cuma tepung, air, sedikit garam dan serbuk kunyit. Ini cara Mak Mertua kita... sangat sempoi kan? Telur memang tak digunakan laa... tau ajelah kita ni dengan bau telur macamana. Cuma sesekali kalau nak rasa lebih lemak-lemak, kita tambahkan sesudu serbuk susu atau serbuk santan. Tapi selalunya gini aje...

Roti Jala...2 cwn tepung
2 cwn air
1 sdteh garam
1/2 sdteh serbuk kunyit/pewarna kuning
1 sdbsr minyak masak

Campurkan kesemua bahan hingga sebati. Tapis dan masukkan ke dalam botol.
Panaskan kuali dan tuangkan adunan secara menegak dan melintang - lihat gambar.
Apabila roti sudah masak, angkat dan gulungkan mengikut gaya yang disukai.
Buat sehingga adunan habis dan hidangkan bersama kari atau serawa.

Adunan yang ini agak pekat sikit dari biasa. Tapi ok sebab kita boleh picitkan sikit botol untuk alirkan adunan keluar. Kalau guna acuan klasik, kenalah cair sikit sebab adunannya kena mengalir sendiri. Jadi selalunya kita guna 2 1/4 cwn air untuk 2 cwn tepung.

Kalau nak tengok cara mengirai guna botol yang sangat cantik, tengok sini kat Secubit Garam.

Until later...

Sunday, August 14, 2011

Kuih Lopes Perantau...

Pengubat rindu...
Masa pergi Bazaar Ramadhan haritu, kuih ni pun ada dijual. Nak beli sikit-sikit... mesti tak cukup. Nak beli banyak-banyak... faham-faham ajelah. Jadi kita cakap kat Cik Abang... takpe... nanti kita buatkan. Satu keluarga boleh makan puas-puas.

Jumpa resipi yang paling mudah kat MyResipi - klik sini yea. Cuma kelapa parut ajelah... tak tau lagi kat mana nak cari kelapa parut fresh. Kelapa biji ada dijual, tapi nak memarutnya tu macamana pulak? Hmm... nampaknya kena cilok parut besi klasik Mak ler bila balik kampung nanti... hehehe... Ok, ini resipinya. Macam biasa, kita dah ubah sikit-sikit ikut keperluan kita.

Kuih Lopes Perantau...
2 cwn pulut
2 1/2 sdbsr serbuk santan
2 cwn air
1 sdbsr pandan emulco
sedikit garam

2 ketul gula melaka
1 sdbsr gula
1 1/2 cwn air

1 cwn kelapa kering
sedikit air, gula dan garam

Basuh dan rendam pulut selama 3 jam. Kemudian toskan dan kukus selama 20 minit.
Bancuh serbuk santan dengan air, pandan emulco dan garam.
Keluarkan pulut dan gaulkan bancuhan santan dengan rata.
Kukus semula selama 30 minit. Alaskan dulang dengan plastik.
Letakkan pulut yang siap dimasak tadi dan tekan-tekankan sehingga padat.
Ratakan. Apabila dah benar benar sejuk, bolehlah dipotong dan digolekkan pada kelapa parut untuk dihidang.

Saja aje hempap pulut tu dengan buku budak-budak. Biar lagi mampat...
Untuk kuahnya, masakkan gula melaka, gula pasir dan air hingga sedikit pekat. Tapis dan sejukkan.

Untuk kelapanya, kita basahkan kelapa kering dengan air suam dan kemudian gaulkan dengan sedikit garam dan gula. Kemudian kukuskan selama 5 minit. Tapi terus-terang kita cakap, kelapa ni tak berapa sedap... uhuhuhuuu... Tak sama dengan kelapa parut segar laaa... sedih!

Pulut sedang dikukus. Serbuk santan Maggi beli kat sini. Barang-barang lain stok dari Malaysia. Stok dah tinggal sikit... sabor ajelah...
Until later...

Thursday, August 4, 2011

Jemput-jemput Sausage...

Jemput makan...
Dah lama benar tak buat entry masak-masak walaupun hari-hari memasak. Cuma takde buat masakan yang baru, semuanya ulangan belaka. Tak bestlah nak jadikan entry. Tapi jemput-jemput ni memang kali pertama kita buat. Walaupun resipinya sangat-sangatlah ringkas, tapi bolehlah jadi pembuka entry masak-masak untuk tahun ni...

Inspirasinya dari makanan goreng celup tepung yang selalu dijual kat Pasar Malam dan Bazaar Ramadhan. Untuk tepungnya kita buat ala-ala gebu. Kalau nak buat jenis yang garing, kena goreng betul-betul sebelum buka sebab makannya kena panas-panas. Kalau sejuk dah tak omph! Tapi manalah sempat nak menggoreng last minit. Yang ini pukul 4.00ptg kita dah siap goreng dah. Oleh kerana tepungnya lembut, Alhamdulillah... walaupun sejuk, masih sedap dimakan...

Jadi inilah resipinya... Jemput-jemput Sausage
10 batang sausage
1 1/2 cwn tepung gandum
3/4 cwn air
1 sdteh bikarbonate of soda
1 sdteh herba kering - thyme / oregano
sedikit garam
sedikit serbuk perisa ayam
sedikit serbuk lada hitam dan lada putih
minyak untuk menggoreng

Sausage direbus hingga masak. Toskan dan setiap sausage dipotong 8. Ketepikan.

Gaulkan semua bahan kering dengan tepung.
Gaul rata tepung dan air hingga jadi adunan yang pekat dan melekit.
**Herba kering thyme atau oregano tu optional. Kalau tak mahu atau tak ada... tak apa. Boleh hiris-hiriskan daun sup aje, sedap jugak jadinya.

Jom goreng...
Panaskan minyak. Gunakan api sederhana.
Celupkan sausage ke dalam tepung dan goreng.
**Tepungnya tak perlu banyak, cukuplah setakat sausage tu tersalut sikit-sikit.
**Perlu cekap menggoreng sebab jemput-jemput ni cepat masak. Golek-golekkan sekejap aje dah boleh terus angkat dan toskan minyak.

Goreng hingga sausage habis. Hidangkan bersama sos kegemaran. Memadai jadi pengalas perut semasa Solat Maghrib.

Ini pulak permintaan Cik Abang. Lauk sahur tersohor... Gulai Sardin... hahaha... Bila kita memasak sardin, kita suka tambahkan lagi sos tomato dan sos cili, serbuk lada hitam dan lada putih, sekeping asam keping dan sedikit kicap. Taklah cair dan pucat sangat rupa kuahnya. Rasanya pun jadi lebih sedap.

Lawannya telur dadar...
Until later...

Sunday, September 5, 2010

Apam Gandum...

Putih gebu macam tahu...

Ini jenis Apam yang mak-mak dan nenek-nenek kita buat dulu untuk sarapan pagi atau minum petang. Apam ni memang sangat mudah nak membuatnya dan sangat senang nak menghidangnya.

Resipi kita jumpa kat blog Mat Gebu. Masuk ni dah dua kali dah kita buat... tapi kita anggap masih lagi dalam tahap eksperimen. Belum cukup puas hati dengan hasilnya, jadi simpan dulu.

Tapi kali ni menjadi dengan jayanya. Meh kita tengok resipi dan gambar-gambarnya sekali...

Apam Gandum

500g tpg gandum
3/4 cwn brown sugar
2 cwn air
11g yis segera + 1/2 cwn air - larutkan

1 cwn kelapa parut + 1 sdbsr gula + 1 sdt garam

Panaskan pengukus.
Gaulkan gula perang dan tepung hingga rata.
Tuang bancuhan yis dan gaulkan.
Tambah air sedikit demi sedikit hingga habis.
Gaulkan hingga bancuhan sebati rata dan tidak berbintil.
Lengserkan minyak pada loyang.
Tuangkan bancuhan ke dalam loyang.
Biarkan selama 35 minit atau sehingga naik dua kali ganda.
Kukus selama 30-40 minit.
Boleh tutup penutup pengukus dengan kain supaya air tidak menitik ke atas kuih.
Angkat dan sejukkan dahulu sebelum dipotong dan dihidang bersama kelapa parut tadi.

Lagi sekali, resipi ni boleh dapat 2 loyang 7"x7" dan kita cuma buat separuh sukatan sahaja. 1 loyang ni pun dah lebih dari mencukupi.

Tiga peringkat: sebelum dan selepas diperam dan dah siap dikukus...

Kalau ikut resipi asal, bancuhan dibiarkan selama 1 jam, tapi disebabkan kita guna loyang kecik, dah ler nak terlimpah-limpah keluar bancuhannya. Wooh.. panik kak oooiii! Kelam kelibut pergi pinjam pengukus lagi satu... hahahaha...

Disebabkan peram lama sangat, teksturnya pun kasar dan sedikit keras. Tapi rasanya tetap maintain sedap.

Kita jugak guna gula putih sebab brown sugar dah habis. Jadilah apam tu berwarna putih macam tahu. Kalau guna brown sugar, apamnya akan berwarna kecoklat-coklatan. Begitulah ceritanya...

Until later...

Friday, September 3, 2010

Kuih Kaswi Gandum...

Sedang menanti waktu berbuka...

Ramadhan tahun ni, kita pecah rekod sebab hampir hari-hari buat kuih. Bukannya sebab kita ni terlebih rajin ke hapa ke, tapi lebih kepada mengikut keadaan semasa.

Dulu-dulu... masuk aje waktu berbuka, kitaorang akan terus makan nasi atau makan makanan berat-berat sampai kenyang, barulah solat Maghrib.

Kemudian, Cik Abang kata, kita kena tukar stail sebab makan berat-berat ni leka. Hujung-hujung maghrib barulah sibuk nak bersolat. Dahlah tu, kenyangnya yang amat.... aduuuh... nak rukuk, nak sujud pun payah kan?

Perubahan dibuat dan kitaorang mula berbuka dengan minum-minum air, makan kurma atau makanan yang simple-simple macam jemput-jemput ke, pisang goreng ke, sandwich ke... kalau ada kuih pun, selalu yang dibeli aje.

Ramadhan kali ni pulak, Cik Abang berbuka di Surau Panaga. Selesai solat Maghrib barulah dia balik ke rumah dan makan nasi sama-sama. Berbuka di surau kan gaya pot-luck, itulah yang kita ni hari-hari kena mencari idea nak buat kuih apa.

Tapi takpelah, kita pun seronok jugak. Kalau tak macam ni, takdelah nak mencuba buat benda-benda baru, terutamanya kuih-muih tradisional Melayu.

Hari Rabu lepas, kita buat Kuih Kaswi. Ini ialah percubaan kali kedua. Percubaan pertama tahun lepas tapi tak berapa menjadi. Kuihnya agak keras dan terlalu manis.

Resipi yang kita guna ni dari blog Chef Hanieliza.

Kuih Kaswi Gandum

5 cwn air
1 cwn gula merah
1 cwn gula pasir

2 cwn tpg gandum
1/2 cwn tpg ubi
1 sdt air kapur

1 cwn kelapa + 1 sdbsr gula + sdt garam

Masakkan gula merah, gula pasir bersama air dan sejukkan dahulu.
Panaskan kukusan.
Sapukan sedikit minyak pada loyang atau lapikkan dengan plastik.
Bancuhkan tepung gandum, tepung ubi, air kapur dan air gula.
Tapiskan dan tuang ke dalam loyang. Kukus selama 30 minit.
Kalau mahu, bungkus penutup kukus dengan kain supaya air tidak menitik ke atas kuih.
Angkat dan biar benar-benar sejuk sebelum dipotong dan dihidang bersama kelapa parut tadi.

Gambar sebelum dan selepas dikukus...

Resipi ni boleh dapat 2 loyang 7"x7". Kita bancuh separuh sukatan aje. Satu loyang kat gambar tu cukup untuk buat berbuka di rumah dan di surau. Sekali lagi, kita happy sebab kuih menjadi! Ngam-ngam aje lembut dan manisnya.

Haaaaa.... yang ini pulak cawan porselin untuk acuan kuih lompang yang kita jumpa semalam. Ada terselit kat celah-celah barang di kedai Nyonya kat Seria tu. Hehehe... punyalah behabuk-habuk plastiknya. Dapatlah 20 biji dan Nyonya kata $13.00. Oklah Nyonya... janji dapat!

Ting, ting, ting, ting....

Until later...

Tuesday, August 31, 2010

Kuih Lompang...

Dapatlah penuhkan 2 bekas Tupperware ni. Cukup untuk dibawa ke Majlis Khatam Tadarus Al-Quran dan dihantar sedikit ke surau...

Kuih Lompang. Kuih yang pasti mengingatkan kita kepada Mak Yah sebelah rumah kitaorang di Parit Besar. Tanyalah pada adik-adik kita pun, Kuih Lompang memang seerti dengan nama Mak Yah.

Sebabnya, masa zaman budak-budak dulu, dialah yang paling rajin buat dan bagi kuih ni kat kitaorang. Selalu bila tengah main-main kat luar rumah, kemudian dengar bunyi "ting, ting, ting, ting"... dari dapur Mak Yah... taulah dia tengah buat kuih ni.

Bunyi dia membasuh cawan-cawan porselin comel acuan kuih ler tu. Sebelum maghrib, gerenti sampai sepiring ke meja dapur kitaorang. Paling sikit pun, 5 biji mesti dapat punyalah!

Kuih Lompang Mak Yah ialah gold standard bila makan kuih buatan orang lain. Yelah, kadang-kadang tu rupa aje comel tapi rasanya entah hapape aje. Kadang-kadang pulak keras-kebatun ibarat nak patah gigi bila makan.

Atas ingatan dan keinginan itulah, kita trolling internet mencari resipi yang agak-agak sesuai dan mudah. Alhamdulillah, kita terjumpa resipinya di sini. Seperti kata tuan punya blog, Rini, resipi ni Insya-Allah... mesti menjadi walaupun untuk first-timers. Ternyata betul! Meh cuba...


Kuih Lompang

2 1/2 cwn tpg beras
1/2 cwn tpg ubi
1 cwn gula
1 sdt esen ros
4 cwn air
daun pandan
pewarna yang disukai
1 cwn kelapa parut + 1 sdbsr gula + secubit garam

Panaskan kukusan.
Oleskan minyak pada acuan. Ini memudahkan kita keluarkan kuih dari acuan bila ia dah sejuk nanti.
2 cwn air dimasakkan bersama gula dan daun pandan. Kita panaskan air hanya sampai gula larut aje, tak tunggu hingga ia mendidih.
Satukan dengan 2 lagi cwn air dan bancuhkan pada tepung.
Tambahkan esen rose dan bancuh rata.

Ada yang panaskan acuan dulu sebelum dituangkan bancuhan, tapi kita tuangkan saja sejuk-sejuk...

Bahagikan kepada beberapa bahagian, kacau rata pewarna dan tuangkan ke dalam acuan. Kukus kuih selama 15 minit.

Pengukus ni tak perlu ditutupkan kain kerana ada lubang pengeluar wap, jadi air tak begitu banyak terkumpul di dalamnya. Kalau guna pengukus yang biasa mungkin perlu dibalut dengan kain pada penutupnya supaya air tak menitik ke atas kuih...

Tunggu hingga kuih benar-benar sejuk barulah dikeluarkan dari acuannya.

Kita rendamkan acuan di dalam dulang berisi air supaya lebih cepat sejuk...

Letakkan kelapa parut yang telah digaul dengan gula dan garam di atas kuih. Siap untuk dihidang.

Gembiranya hati bila kuih cantik melompang... hehehe... Kuihnya lembut dan rasanya pun sedap. Tak hampa.

Padanlah Mak Yah selalu buat kuih ni dulu. Buatnya senang dan jadinya muai. Yelah, anak-anak dia kan ramai. Boleh kasi kat jiran sebelah lagi!

Lepas ni, kalau kita ada terjumpa cawan-cawan comel porselin tu, kita pasti akan beli. Untuk alami kembali nostalgia bunyi "ting, ting, ting, ting"...

Until later...

Monday, May 18, 2009

Kuih Cara Manis...


Bukan terhangus, tapi sengaja buat ala gelap-gelap sikit. Entahlah, suka pulak rasa kuih tu rangup-rangup sikit masa masih panas-panas...

Kuih Cara ni favourite budak-budak. Kalau beli mesti nak sorang seringgit. Untuk 4 orang dah jadi $4.00! Habis pulak semuanya. Ibu & Babahnya dapat rasa sikit-sikit aje...

Kita kata, mesti nak kena pandai buat sendiri ni. Pertama kali buat pada 1hb Jan 2009. Acuan pinjam dari Kak Salina. Resipinya dari Mala.

Kelam-kabut jugak mula-mula tu, habis hangus hitam legam. Tension betul. Akhirnya basuh balik acuan dan buat semula. Barulah menjadi.

Cuti sekolah yang lepas, kita kirim kat Mala dua acuan Kuih Cara ni. Kedah mai jangan tak percaya. Dah kat Batu Pahat tak jumpa. Hari Sabtu lepas baru dapat peluang merasmikannya.

Dari pengalaman dulu, bila acuan diletak atas dapur, suka terjatuh-jatuh. Bahagian bawah acuan tu kan tak rata. Jadi pagi Sabtu, dengan bersemangat kita pergi kedai hardware dan beli le pagar dawai nak buat alas acuan atas dapur.

Bila nak guna, hmmm... besor sangatlah pulak. Patutnya suruh aje orang kedai tu siap-siap potong ikut saiz dapur. Habis macamana eh? Potong dah memang kena potong. Nak suruh Cik Abang, dia pulak baru aje keluar pergi main ping pong. Last-last lipat lengan, cari ragum dengan gunting. Buat sendiri ha ha ha...

Nasib baiklah Abah dulu orang yang rajin bertukang. Masih ingat lagi dia buat katil dua tingkat kitaorang. Arwah Baktuk pun pandai bertukang. Almari built-in dari lantai sampai ke siling kat bilik tidur kitaorang tu dia yang buat.

Sebagai anak yang paling besor, kita le yang jadi pembantu. Ambikkan apa-apa benda, itu ini. Pastu dok mendangok diaorang buat kerja. Jadi tahulah sikit-sikit cara bertukang. Kenal jugak serba-sikit nama alat-alat tukang dan kegunaannya.

Tak sangka, ilmu tu akan berguna bila nak buat Kuih Cara ha ha ha... Inilah hasilnya.

Tengok ajelah ragum tu, dah berkarat dan tumpul. Terpaksalah guna gunting untuk putuskan dawai. Lenguh tangan mengerjakan bende nih...

Resipi dah post kat Facebook. Cut and paste ajelah ye. So, apa lagi? Meh buit kuih!

Kuih Cara Manis

2 cwn tepung gandum
3 cwn air
1 pek serbuk santan
1 biji telur
1 sdbsr pes pandan
1 sdt garam
2 sdbsr minyak masak

Campurkan semua bahan-bahan atas sampai sebati. Tapiskan. Bancuhan lebih cantik dan licin.

Kita gunakan teko bekas basuh tangan, muncungnya lebih tirus, mudah untuk menuang dan senang nak kawal banyaknya bancuhan yang dituang. Ukuran di atas akan dapat satu teko penuh dan boleh dapat 5 kali masak.

Sapukan minyak pada acuan. Sapukan kesemua permukaan, bukan saja lubang untuk kuih. Bila buat macam ni, kalau ada bancuhan yang tertumpah, ia tak melekat dan mudah ditanggalkan.

Gunakan api paling kecil. Tuang sikit bancuhan, kalau tak pasti, agak-agak dalam 1 sdbsr aje.

Tuangkan lubang bahagian luar dulu, baru yang dalam. Lubang yang luar jauh dari api, jadi lambat masak. Sudukan 1/2 sudu teh gula. Tuang bancuhan lagi sampai penuh.

Tutup acuan (gunalah mana-mana penutup periuk yg cukup besar). Bila bancuhan bahagian atas dah masak, besarkan sedikit api tu dan teruskan masak tanpa penutup.

Bila bahagian bawah kuih dah boleh ditolak dan warnanya sedikit perang, angkat, susun dan hidang.

Mesti ingat, ini slow cooked punya kuih. Kalau guna api besar, gula membuak dan kuih hangus. Kalau guna api kecik tapi cepat sangat angkat, kuih rasa mentah dan berbau hanyir telur. Selamat mencuba!

Until later...