Showing posts with label Lauk Sayur. Show all posts
Showing posts with label Lauk Sayur. Show all posts

Monday, April 23, 2012

April dan Pisang Muda Masak Lemak...

Macam biasalah, bila hujung minggu mestilah pergi membeli barang-barang dapur. Masa berpusing-pusing kat bahagian sayur-sayuran, ternampaklah pisang muda. Ramai pulak yang membelinya. Orang India beli, orang Filipina pun beli jugak. Hmm.. menarik jugak ni. Tanya kat Cik Abang, nak makan lauk pisang muda? Dia kata okeh... jadi kita sambarlah sesikat kecik.

Jalan-jalan dalam dunia internet, kita jumpa bermacam-macam cara untuk masak lauk ni. Ada yang sangat simple.. cuma santan,  kunyit dan cili padi. Ada yang banyak rencah, siap guna daun kunyit, kerisik dan buah keras. Ada yang tumis rencahnya, ada yang tidak. Ada yang rebus dulu dan buang airnya, ada yang tidak. Jadinya memandai-mandailah kita menggodeh. Alhamdulillah... hasilnya tidak menghampakan...

Pisang Muda Masak Lemak...

1 sikat pisang muda (dlm 10 biji yg kecil)
1 biji bwg besar
2 ulas bwg putih
6 biji cili padi
1/2 sdbsr serbuk kunyit
sedikit ikan bilis
sedikit udang kering
3 sdbsr kelapa parut
1/2 sdbsr ketumbar
1/2 sdteh jintan putih
1 btg serai
3 kpg asam keping
2 cwn air
1 cwn santan pekat
garam secukup rasa


Kupas bahagian kulit pisang yang berwarna hijau. Potong pisang kepada dua dan rendamkan dalam air garam.
Sangai kelapa parut, ketumbar dan jintan putih hingga garing.
Dengan sedikit air di dalam pengisar, kisarkan kelapa parut, ketumbar dan jintan putih yang disangai tadi.
Kemudian masukkan bawang besar, bawang putih, cili padi, ikan bilis dan udang kering.
Kisarkan kesemuanya hingga benar-benar halus.
Tumiskan rencah kisar tadi bersama sedikit garam, serbuk kunyit, asam keping dan serai yang diketuk.
Tumiskan hingga naik minyak. Tuangkan 2 cawan air, masukkan pisang dan reneh hingga pisang empuk.
Masukkan santan kelapa dan didihkan sebentar. Sesuaikan rasa masam dan masin. Siap untuk dihidang.

Sebahagian bahan-bahan yang digunakan. Stok ikan bilis dari Malaysia dah habis. Ini kali pertama gunakan ikan bilis dari Sri Langka. Ikan bilisnya agak liat. Tak boleh dikopek dua macam yang kita biasa guna. Tapi sedap jugaklah rasanya. Bolehlah setakat nak buat rencah masakan. Cuma agak tak sesuai kot kalau dibuat Sambal Tumis.

Perasan tak kita sangai kelapa dengan rempah dan kisarkan terus dengan bahan-bahan lain? Haa kengkawan... itulah short-cut namanya. Asalkan dapat rasa-rasa kerisik kat kuah...

Until later...
Yang ini dimasak pada 12.5.12. Kali ni kita rebus dulu pisangnya sampai empuk dengan sedikit garam. Kesemua rencah - kecuali asam keping, kita kisarkan bersama kemudian masukkan ke dalam rebusan tanpa ditumis. Tambahkan santan pekat dan renehkan sekejap. Kita jugak gunakan cili padi yang berwarna merah sebab itulah warna kuah lebih kuning dari yang dulu...

Sunday, February 12, 2012

Kimchi...

Untuk menunaikan hasrat Cik Kak yang banyak cekadak. Dah lama tak makan kimchi katanya. Aarif pun seronok bila dengar request kakak dia. Cik Abang cool aje tapi kita tau... dia pun seronok tu. Hmmm... tu la... sape suruh ngajor anak dan suami makan makanan yang bukan-bukan. Padan muka sendiri... kan? kan?

Lama jugak kita buat tak tau... tapi makin buat tak tau... makin beria pulak dia mintak. Akhirnya kita pun macam rasa kecur pulak... memang betul dah lama tak pekena. Jadi bila kebetulan Cik Abang ada beli kobis china haritu... terus ajelah buat.

Dulu kita rajin membeli kimchi kat Jaya Jusco, Mid Valley. Masa duduk kat Seria, ada jugak membeli kat Supasave bila sesekali ada. Kimchi made in Singapore ler tapinya.

Bila nak membuat tu... cari  ler resepi sana-sini. Barulah tau, sangat menarik tau cara orang Korea ni buat kimchi. Ada yang guna "salted shrimp" - cencaluk? Ada yang guna "anchovy sauce" - budu? Cencaluk ya... tapi budu tidaklah. "Achovy sauce" jernih... rupa macam fish sauce aje. Resipi air tangan orang Korea boleh tengok sini, sini dan sini.

Disebabkan takde serbuk lada Korea, cencaluk Korea dan "anchovy sauce" Korea... maka kita dengan sesuka hatinya mengganti dengan apa-apa yang ada - gaya Melayu laaa... Alhamdulillah... rasa, rupa dan bau... menjadi. Sedap seakan-akan asli... chewah... chewah... hahaha...

Resipi kita ni adalah olahan dari gabungan dan ringkasan beberapa cara dan gaya. Meh cuba!

Kimchi Kobis China...

1 kepala kobis china
1/2 cwn lada kisar
1/2 cwn udang kecil + 1 sdbsr garam
1/2 cwn ikan bilis + 1 sdbsr garam
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 ketul halia sebesar ibu jari
1 biji epal
2 batang daun bawang
garam secukupnya

Basuh bersih udang kecil dan ikan bilis. Gaulkan garam dan ketepikan.
Kobis china dibelah dua. Bilas dan kemudian letakkan garam di setiap celah daun.
Larutkan 1/2 cwn garam dengan air. Rendamkan kobis selama 2 jam.
Terbalikkan kobis dan rendam lagi selama 2 jam. Tindan dengan piring kalau mahu.
Selepas direndam selama 4 jam, bilaskan kobis sebanyak 3 kali.
Perahkan air dari daun, tos dan ketepikan.
Bersihkan daun bawang dan potong serong.
Kupas kulit epal, buangkan empulurnya dan potong dadu.
Kisar epal bersama lada kisar, udang, ikan bilis, bawang besar, bawang putih, halia.
Tuangkan rencah ke dalam besen dan gaulkan dengan daun bawang tadi.
Rasa rencah. Boleh tambah sedikit lagi garam dan gula sekiranya ia tawar. 

Ambil kobis dan sapukan rencah pada setiap kelopak daun kobis dengan rata.
Sapukan juga pada seluruh bahagian luar kobis.
Ambil dua helai daun paling besar dan balutkan kemas pada kobis.
Buat yang sama pada kobis kedua dan simpan dalam bekas kedap udara.
Peram sehari pada suhu bilik dan paling singkat, peram 2 hari dalam peti sejuk.
Untuk rasa lebih sedap, tunggu 5 hari sebelum dihidang.

Gambar pertama: Kimchi yang baru siap. Gambar kedua: Kimchi hari ke 3. Gambar atas: Kimchi hari ke 5.











Lebihan rencah boleh dibuat ini...

Kimchi Timun...

4 biji timun Jepun
1 biji lobak merah
garam
rencah kimchi resepi di atas

Basuh bersih timun dan lobak merah. Potong baji dan gaulkan dengan garam.
Biarkan selama sejam. Selepas itu bilas beberapa kali dan toskan.
Gaulkan dengan rencah dan simpan dalam bekas kedap udara.
Tak perlu tunggu lama, dah boleh makan keesokan harinya.
Mungkin kalau belum pernah merasa, boleh cuba beli Kimchi yang ori dari Korea dulu. Bila dah tau rasanya di lidah... bolehlah godeh-godeh resipi untuk dapatkan yang sesuai dengan citarasa sendiri.

Kimchi Timun tu dah habis dah. Kimchi Kobis tinggal sikit. Adeem dan Amiin pun berselera nampaknya. Dah ada permintaan untuk siaran ulangan. Tak puas makan diaorang kata...

Until later...

Saturday, October 29, 2011

Pindang Serani & Sayur Tumis Telur...

Hari ni entry dua dalam satu. Bukan apa... kang kalau simpan-simpan... hentah bila la nak keluar pulak kan... Meh tengok!


Lauk simple-simple aje. Pindang Serani namanya. Senang sangat masak lauk ni, main hiris-hiris, ketuk-ketuk dan campak-campak aje. Tapi Alhamdulillah... budak-budak suka makan.

Pindang Serani...
1/2 kg ikan pilihan - kita guna Ikan Jenahak
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
5 biji lada cili
1" halia
1" kunyit hidup
1 btg serai
3 keping asam keping
garam, serbuk lada hitam & lada putih
2 cwn air

Hiris bawang besar dan kunyit, ketuk bawang putih, lada cili, halia dan serai.
Tumis kesemuanya hingga hampir garing.
Tambahkan asam keping, garam, serbuk lada hitam dan lada putih.
Tuangkan air dan tunggu hingga mendidih.
Masukkan ikan dan reneh hingga masak.
Sesuaikan rasa masam dan masin. Sedia untuk dihidang.

Lauk pindang ni memang sedap kalau makan dengan Telur Dadar tapi biasalah budak-budak... telur dadar habis tapi lauk sayur terbiar. Hai... geram betul. Jadi apa akal Ibu? Campurkan aje kedua-duanya. Lepas tu, hidangkan dengan pesanan, "Mesti makan semua... Siapa yang kutil sayur, kena kutil dengan Ibu yea..." Hahaha...



Sayur Tumis Telur...
1/2 cwn bunga kobis dipotong dadu
1/2 cwn lobak merah dipotong dadu
1/2 cwn daun ketumbar dihiris
1 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
3 biji telur
garam, serbuk lada hitam, lada putih

Cincang bawang besar dan bawang putih. Tumiskan sebentar.
Masukkan bunga kobis, lobak merah, dan daun ketumbar.
Masukkan jugak garam, serbuk lada hitam dan lada putih.
Tumis hingga sayur-sayur separuh masak.
Pukul telur hingga sedikit kembang dan tuangkan pada sayur.
Gaul rata dan masak hingga telur kental. Siap untuk dihidang.

Lauk ni sesuai kalau nak menghabiskan lebihan-lebihan sayur yang tinggal sikit-sikit tu. Tak pun kalau dah takde apa sayur pun dalam fridge kecuali Mix Vegetable sejuk beku. Ada kacang peas, jagung, lobak merah dan kadang-kadang kacang panjang. Kalau buat macam ni, Insya Allah sedap jugak jadinya nanti.

Until later...